Charlie Watts, pemain dram legenda Rolling Stones meninggal dunia

- Advertisement -

London: Pemain dram kumpulan rock legenda, Rolling Stones iaitu Charlie Watts meninggal dunia pada usia 80 tahun di sebuah hospital di London, semalam.

Berita sedih pemergian pemain dram yang bersama Rolling Stones hampir 60 tahun lalu itu diumumkan pegawai medianya di London, Bernard Doherty.

“Watts meninggal dunia di sebuah hospital di London hari ini (semalam) di sisi keluarganya. Dia seorang suami, bapa, datuk dan juga anggota Rolling Stones yang sangat dihargai. Watts juga antara pemain dram terhebat untuk generasinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, Rolling Stones mengumumkan Watts tidak dapat menyertai konsert jelajah mereka di Amerika Syarikat kerana mengalami masalah kesihatan.

Selain Watts, Rolling Stones turut dianggotai Mick Jagger (penyanyi), Keith Richards (gitar) dan Ronnie Wood (gitar).

Pemain gitar asal mereka, Brian Jones meninggal dunia pada 1969 dan pemain bass, Bill Wyman meninggalkan kumpulan itu pada 1993.

Apa yang pasti, berita itu pasti menyedihkan anggota kumpulan Rolling Stones.

Jagger menerusi Instagram memuat naik gambar Watts yang sedang tersenyum sambil bermain dram tanpa sebarang keterangan gambar atau ‘caption’.

Richards pula memuat naik gambar set dram kosong tanpa pemainnya di Twitter.

Turut melakukan penghormatan di media sosial ialah pemain dram The Beatles, Ringo Starr.

“Semoga Tuhan merahmati Charlie Watts. Kami akan merinduimu,” tulisnya.

Penyanyi dan pemain bass The Beatles, Paul McCartney berkata, Watts adalah seorang lelaki penyayang.

 

Watts (kiri) bersama Ronnie Wood (dua dari kiri), Mick Jagger (tiga dari kiri) dan Keith Richards (kanan) dalam salah satu persembahan mereka beberapa tahun lalu. FOTO AGENSI
Watts (kiri) bersama Ronnie Wood (dua dari kiri), Mick Jagger (tiga dari kiri) dan Keith Richards (kanan) dalam salah satu persembahan mereka beberapa tahun lalu. FOTO AGENSI

 

“Saya tahu dia memang tak sihat, tapi tak tahu pula dia amat sakit. Charlie seorang bintang rock dan pemain dram terhebat. Saya sentiasa sayangkan awak, Charlie,” katanya.

Watts yang dilahirkan pada 1941 di Wembley, London bermula dengan muzik jazz dan mula mendapat set dram pertamanya ketika remaja.

Selepas menyertai kumpulan Blues Incorporated bersama Alexis Korner dan pemain bass Cream, Jack Bruce pada 1962, Watts menyertai Rolling Stones setahun kemudian bersama Jagger, Richards dan Jones.

Sejak 1964, Rolling Stones sudah menghasilkan 30 album studio, 33 album live dan 29 album kompilasi yang terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia sekali gus menjadikan mereka antara artis paling laris sepanjang zaman.

Rolling Stones pernah memenangi tiga trofi Grammy Awards dan disenaraikan dalam Rock & Roll Hall of Fame pada 1989.

Majalah Billboard meletakkan Rolling Stones di tempat kedua dalam senarai Artis Terhebat Sepanjang Zaman.

Majalah Rolling Stone turut meletakkan Watts di tempat ke-12 dalam senarai pemain dram terhebat sepanjang zaman.

 

Watts (dua dari kiri) ketika bersama Rolling Stone pada era 1960-an dan 1970-an. FOTO AGENSI
Watts (dua dari kiri) ketika bersama Rolling Stone pada era 1960-an dan 1970-an. FOTO AGENSI

Agensi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat