Oleh Zihan Zari
CHANGLUN – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah melaksanakan Agropreneur Community Mentorship Programme dengan kerjasama Fatimah MZ Agrofarm, dekat sini baru-baru ini.
Program ini diketui oleh Mohammad Firdaus Ahmad, melibatkan sembilan pensyarah Jabatan Perdagangan PUO yang dilantik secara rasmi sebagai mentor industri bagi membimbing pembangunan perniagaan Fatimah MZ Agrofarm secara berterusan mengikut kepakaran masing-masing.
Antara bidang yang diberikan tumpuan ialah keusahawanan sosial, perundangan perniagaan, perakaunan dan audit, pemasaran digital, pengurusan risiko serta keselamatan dan teknikal bagi membantu meningkatkan kecekapan pengurusan serta daya saing perusahaan.
Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, program berkenaan membuktikan institusi TVET bukan sahaja berperanan melahirkan graduan berkualiti, malah menjadi rakan strategik kepada industri dan komuniti melalui perkongsian ilmu serta kepakaran.
“Kolaborasi seperti ini membolehkan kepakaran pensyarah diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang mampu membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan mereka.
“Pensyarah turut memperoleh pengalaman industri yang dapat memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran di kampus,” katanya.
Ujarnya, pendekatan pementoran secara berterusan itu mampu memperkukuh tadbir urus perniagaan, meningkatkan produktiviti serta membuka lebih banyak peluang jaringan strategik antara institusi pendidikan dan sektor industri.
Dalam perkembangan sama, sepanjang program berlangsung, para pensyarah turut mengikuti pendekatan ‘Theory to Practice’ menerusi lawatan lapangan dan pemerhatian operasi sebenar di Fatimah MZ Agrofarm.
Mereka menilai aspek pengurusan perniagaan, pengeluaran, pemasaran, pengurusan risiko serta cabaran yang dihadapi usahawan bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan industri.
Program itu turut diisi dengan sesi konsultasi dan perkongsian kepakaran secara bersemuka bersama pengurusan Fatimah MZ Agrofarm bagi membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan, penambahbaikan operasi serta cadangan amalan terbaik dalam meningkatkan daya saing perusahaan.
Melalui kolaborasi strategik ini, PUO berharap lebih banyak usahawan tempatan dapat memanfaatkan kepakaran akademia dalam memperkukuh pembangunan perniagaan yang mampan, sekali gus menyokong agenda pemerkasaan ekonomi komuniti.
Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Politeknik APEX yang komited memperkasakan TVET berimpak tinggi melalui kolaborasi erat antara institusi pendidikan, industri dan komuniti demi pembangunan negara.-SUARA.TV



