Ning balas dendam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekian lama tiada lagu baharu, Ning Baizura meluahkan rasa teruja apabila berpeluang merakamkan lagu Perwira hasil ciptaan bersama komposer terkenal, Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar.

Lebih membuatkan Ning seronok, lagu itu bukan saja bakal merancakkan kerjaya seninya yang agak perlahan sejak kebelakangan ini, malah dihasilkan untuk tujuan murni.

Single Perwira bakal menjadi lagu tema sempena kempen Tabung Pahlawan iaitu kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Primeworks Studios Sdn Bhd.

Bertemu penyanyi bersuara soprano ini ketika merakamkan lagu berkenaan di studio milik Aubrey di Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, Ning mengaku tidak sabar kembali aktif selepas lebih tiga bulan berkurung di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya difahamkan, Media Prima Berhad sudah menyusun atur jadual promosi lagu ini.

Lama tidak tampil dengan produk baharu, Ning mengubat rindu peminat dengan single Perwira yang mengenang jasa perajurit tanah air. Foto IG Ning Baizura
Lama tidak tampil dengan produk baharu, Ning mengubat rindu peminat dengan single Perwira yang mengenang jasa perajurit tanah air. Foto IG Ning Baizura

“Antaranya sesi temubual dengan stesen radio dan TV milik mereka, rakaman muzik video dan lagu ini bakal menjadi runut bunyi untuk drama,” katanya kepada BH Online.

Ning berkata, sejak PKP dikuat kuasakan, golongan artis adalah antara mereka yang terkesan.

“Sebagai persediaan kembali aktif, saya perlu kelihatan cantik dan bertenaga.

“Untuk itu, saya perlu mengurangkan lagi berat badan sebanyak empat atau lima kilogram (kg). Berat badan saya tidaklah bertambah, cuma saya mahu nampak lebih bergaya apabila muncul di kaca TV,” katanya.

Biarpun single Perwira ada kaitan dengan semangat perjuangan, namun Ning berkata, karya itu bukanlah seperti lagu patriotik biasa.

“Lagu ini banyak memberi makna kepada saya. Perwira menyaksikan saya kembali bekerjasama dengan Aubrey di studio.

“Kali terakhir pada 2004 ketika merakamkan lagu Awan Yang Terpilu. Saya juga sudah lama tidak berkolaborasi dengan Ahmad Izham.

“Saya sangat teruja kerana lagu ini bukan seperti lagu patriotik biasa yang orang susah hendak ingat. Insya-Allah, lagu ini tidak jadi begitu.

“Saya percaya dengan magis yang ada pada Aubrey dan Ahmad Izham. Walaupun kita jarang mengingati pahlawan dan orang yang berjuang untuk negara kita, saya yakin lagu ini nanti akan mengembalikan semula ingatan pendengar kepada wira kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Izham menyifatkan Ning penyanyi tepat bagi lagu Perwira kerana vokalnya yang hebat.

“Kita perlukan ikon dikenali ramai dan mempunyai vokal mantap. Ning dipilih kerana dia menepati kriteria itu.

“Sejak awal kemunculan hingga hari ini, baik yang muda atau orang lama, semuanya kenal siapa Ning. Saya pernah mengiringi persembahannya dan rasa teruja dapat bekerjasama dengannya semula,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan lagu itu, Ahmad Izham berkata, sebahagian daripada lirik dipetik daripada ikrar yang pernah dilafazkan pasukan perajurit tanah air.

“Pada bahagian korus lagu ini, saya selitkan kata-kata penuh semangat, sesuai dengan konsepnya.

“Paling mahal, saya ambil sebahagian daripada ikrar kesatria yang pernah dilafazkan anggota tentera darat, laut dan udara sebagai lirik,” katanya.

Ahmad Izham berkata, lirik itu dipilih kerana beberapa patah perkataannya menusuk kalbu.

“Untuk memberi jiwa kepada ikrar itu, saya gunakan suara pengacara terkenal, Zainal Ariffin Ismail membacakan ikrar berkenaan,” katanya.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat