Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau akan buat laporan polis terhadap Astro AWANI, dan mereka yang menyamar

SEREMBAN – Kontroversi pelantikan Undang Luak Rembau terus memuncak apabila Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau mengumumkan akan membuat laporan polis terhadap laporan Astro AWANI serta beberapa individu yang didakwa menyamar sebagai pembesar adat bagi menghadiri Istiadat Mengadap di Istana Besar Seri Menanti berhubung proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu sidang media khas yang diadakan sebagai reaksi terhadap laporan Astro AWANI yang melaporkan kononnya Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, bagi memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang.

Menurut Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau, individu yang hadir dalam istiadat tersebut bukanlah Dato’-Dato’ Lembaga yang sah mengikut adat Luak Rembau, sebaliknya mereka mendakwa berlaku penyamaran dengan menggunakan gelaran pembesar adat bagi melengkapkan istiadat berkenaan.

Mereka menegaskan tindakan menyamar sebagai pembesar adat bukan sahaja mencemarkan institusi adat, malah boleh mengelirukan masyarakat mengenai kedudukan sebenar Dato’-Dato’ Lembaga yang mempunyai kuasa dalam proses pemilihan Undang Luak Rembau.

Sehubungan itu, mereka akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu-individu terbabit, termasuk mengenal pasti bagaimana mereka boleh hadir dalam istiadat rasmi menggunakan identiti sebagai pembesar adat.

Menurut draf laporan polis yang diedarkan kepada media, laporan itu akan dibuat oleh pemegang pusaka adat yang mendakwa mewakili Dato’/Tok Undang, Lembaga dan Buapak/Besar Waris/Ibu Soko yang sah bagi Institusi Adat Balai Undang Luak Rembau.

Draf laporan itu menyatakan bahawa Dato’-Dato’ Lembaga Adat yang sah bagi Luak Rembau tidak mengetahui berkenaan istiadat tersebut dan tidak mengiktiraf istiadat berkenaan.

Mereka turut mendakwa istiadat itu, jika berlangsung, adalah salah serta bertentangan dari segi adat dan undang-undang yang termaktub kerana didakwa dihadiri kumpulan atau individu yang bukan pemegang pesaka adat yang sah Luak Rembau.

Sidang media itu diketuai oleh YM Dato’ Perba, Dato’ Lembaga Suku Bidunada Nan Dua Carak Luak Rembau, Haji Abdul Razak bin Haji Yassin.

Turut disenaraikan sebagai Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau yang sah ialah YM Dato’ Menteri Lela Perkasa Haris bin Abd Talib; YM Dato’ Raja Di Raja Mej. Hj. Bahaman bin Harun; YM Dato’ Merbangsa Azmi bin Hj. Ahmad; YM Dato’ Gempa Maharaja Zaharudin bin Idris; YM Dato’ Samsura Pahlawan Mohd Ilmy bin Mohd Zain; YM Dato’ Mendelika Hj. Abd Hamid bin Abdul Malek; YM Dato’ Andika Mohammad Hanif bin Shaharuddin; YM Dato’ Sinda Maharaja Baharin bin Sharif; YM Dato’ Seri Maharaja Hj. Abu Zarin bin Abd Samad; YM Dato’ Maharaja Jinda Mohd Radzi bin Long; YM Dato’ Sultan Bendahara Ahmad Puad bin Hassan; YM Dato’ Putih Mohamad Aman Shah bin Yaakob; YM Dato’ Ganti Maharaja Hj. Muhamad Yusof bin Abd Rahman; YM Dato’ Raja Senara Hj. Mahat bin Ibrahim; YM Dato’ Lela Wangsa Badrol Sham bin Hj. Maarof; YM Dato’ Mengkuta Tajudin bin Yusof; dan YM Dato’ Panglima Dagang Ruslan bin Nunet.

Beberapa jawatan lain turut dicatatkan sebagai kosong atau penyandangnya telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau turut menegaskan bahawa sebarang proses pelantikan Undang hendaklah mematuhi sepenuhnya adat, perlembagaan serta aturan Luak Rembau, dan tidak boleh dilakukan dengan melibatkan individu yang tidak mempunyai kedudukan sah dalam struktur pembesar adat.

Draf laporan polis itu turut mendakwa tindakan pihak tertentu melaksanakan majlis berkenaan adalah tidak sah, selain didakwa mencabar keputusan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang sebelum ini dikatakan mengiktiraf pelantikan YTM Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.

Mereka juga mendakwa tindakan tersebut bertujuan mengelirukan masyarakat, Kerajaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja, selain menjejaskan kedudukan dan nama baik YTM Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan bahawa proses pelantikan Undang Luak Rembau memasuki fasa penting apabila rombongan yang diperkenalkan sebagai Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti bagi memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan rasmi Undang Luak Rembau yang baharu.

Bagaimanapun, sidang media Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau pada hari ini memberi dimensi baharu kepada kontroversi tersebut apabila mereka mempertikaikan kesahihan individu yang hadir dalam istiadat berkenaan dan memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil bagi mempertahankan integriti institusi adat Luak Rembau.

Mereka turut meminta pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kumpulan dan dalang yang didakwa terlibat, termasuk di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 121B dan 121C Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan lain yang berkaitan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat