KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau mengingatkan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) supaya berhenti bercakar sesama sendiri kerana hanya akan membawa kepada kekalahan.
“Musuh di luar boleh dilawan, tetapi perpecahan dalaman membawa kekalahan.
“Kalau kita bersatu, kita jadi kuat.
“Kalau kita berpecah, musuh tidak perlu menyerang pun kita sudah tumbang,” katanya mengulas situasi terkini PN ketika ini.
Ketika ini, hubungan tegang antara Pas dan Bersatu mencerminkan keretakan struktural yang semakin mendalam dalam Perikatan Nasional (PN) sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kestabilan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedang mengkaji semula kerjasama dengan Bersatu juga memberi gambaran jelas terhadap hubungan antara kedua-dua parti utama dalam gabungan berkenaan semakin tegang.



