KUALA LUMPUR — Lima bahagian Bersatu di Melaka iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin, dibubarkan serta-merta selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
Pembubaran ini juga melibatkan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Sayap Bersekutu, serta semua cawangan dan sayap.
Pengerusi Bersatu Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi, Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah Bersatu dan jawatan-jawatan lain yang dipegangnya dalam parti.
Beliau berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara, sukarela, dan tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak setelah keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti tidak dapat dipulihkan lagi.
“Kami menegaskan bahawa kehilangan keyakinan ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan pusat dalam menangani krisis dalaman parti dengan teliti dan berhati-hati, memulihkan kestabilan dan kredibiliti organisasi, serta merumuskan strategi politik yang jelas dan meyakinkan,” katanya dalam sidang media, lapor Bernama di Melaka.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata beliau dan pihaknya akan menyertai pakatan politik baharu yang akan dibentuk.



