KUALA LUMPUR – Pendakwa utama beberapa kes rasuah berprofil tinggi Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dipindahkan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) sebagai Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan berkuat kuasa 2 Mac ini.
Menerusi pekeliling bertarikh 24 Februari, Wan Shaharuddin yang kini merupakan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM akan memegang jawatan tersebut secara jawatan terapung di AGC.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau mengendalikan beberapa kes rasuah berprofil tinggi, antaranya membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa meminta dan menerima suapan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Beliau juga merupakan pendakwa utama dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Pihak pendakwaan merayu bagi mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta dua sebatan terhadap Syed Saddiq, lapor Utusan pada Rabu.
Selain itu, Wan Shaharuddin turut mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah bekas menteri Sabah, Peter Anthony yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tahun lalu.
Beliau juga mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM232.5 juta suapan serta RM200 juta hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.
Pada 22 Januari lalu, Wan Shaharuddin turut mengetuai pasukan timbalan pendakwa raya dalam mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Hafizuddeain Jantan atas empat pertuduhan menerima RM2,122,400 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.



