KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melepaskan tiga bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 pada petang ini, menurut laporan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tiga individu berkenaan dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat pada hari ini.
Media melaporkan empat bekas pegawai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu direman kelmarin, dalam siasatan yang dijalankan bawah Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram ((AMLATFPUAA).
“Daripada empat yang ditahan tempoh hari, seorang sudah dibebaskan pada hari Ahad, manakala pada hari ini baki tiga orang itu akan dilepaskan pada petang ini,” katanya, lapor Astro Awani.
Azam berkata siasatan masih diteruskan dan SPRM akan memanggil ramai lagi saksi-saksi.
Kata Azam, beliau tidak boleh beri sebarang perincian tentang siasatan yang sedang dijalankan, buat masa ini.