KUALA LUMPUR – Kebimbangan sebahagian orang Melayu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) bukanlah sesuatu yang tidak ada asasnya.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, orang Melayu takut kejadian di Kampung Sungai Baru itu berlaku di tempat-tempat lain di bandar apabila Akta Pembangunan Semula Bandar akan berkuat kuasa nanti.
“Kebimbangan sebahagian orang Melayu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) bukanlah sesuatu yang tidak ada asasnya. Satu contoh di hadapan mata orang Melayu ialah nasib penduduk-penduduk Melayu yang merupakan pemilik rumah dan tanah di Kampung Sungai Baru yang bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur dan juga terletak bersebelahan segi tiga emas Kuala Lumpur yang menempatkan KLCC dan Menara Berkembar Petronas.
“Persoalan yang saya ingin kemukakan: adakah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan harta rakyat tidak boleh diambil secara paksa kecuali dengan pampasan yang mencukupi telah dilaksanakan di Kampung Sungai Baru itu?
“Inilah yang dibimbangi oleh orang Melayu.Mereka takut kejadian di Kampung Sungai Baru itu berlaku di tempat-tempat lain di Bandar apabila Akta Pembangunan Semula Bandar akan berkuat kuasa nanti,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Hassan yang juga pengamal undang-undang berkata, dalam banyak peristiwa pengambilan tanah oleh kerajaan ialah kedudukan rakyat begitu lemah berbanding pihak kerajaan yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah Tahun 1960.
“Justeru itu dengan adanya satu lagi Akta yang berkaitan pengambilan hartanah atas nama pembangunan semula bandar telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan rakyat,” tegas beliau.