KUALA LUMPUR – Kumpulan Jakel menghulurkan bantuan 300 bakul makanan kepada 300 pelajar asnaf dari 10 sekolah di sekitar Kuala Lumpur hari ini sempena program kembali ke sekolah.
Pengurus Besar Pemasaran Bahagian Peruncitan Kumpulan Jakel, Azlan Abu Bakar berkata, tahun ini Jakel peruntukan agihan sumbangan kepada 100,000 keluarga atau 100,000 bakul makanan seluruh Malaysia.
“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jakel dibuat setiap tahun malah sebelum Covid-19 pun cuma kali ini kita uar-uarkan acara ini.
“CSR Jakel yang kita buat bertujuan membantu ibu-ibu tunggal, anak yatim, sekolah tahfiz dan sebagainya untuk meringankan bebanan rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19.
“Agihan diedarkan ikut kawasan, jadi kita bekalkan keperluan dalam bentuk barangan kering dan beras.
“Memang tak banyak tapi sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka untuk jangka masa sebulan,” katanya ketika ditemui di SK Danau Kota 2 di sini, hari ini.
Menurut Azlan bagi mematuhi SOP Kementerian Kesihatan (KKM) penyerahan bakul makanan ini dibuat secara pandu lalu.
“Kali ini Jakel menjalin kerjasama dengan NGO, Ashraff Empire Project.
“Melalui kaedah pandu lalu ini, guru datang bawa kenderaan, kita muat masuk barang untuk diedar di sekolah kepada anak-anak asnaf,” beritahu Azlan.
Dalam pada itu, Azlan berkata, Ramadan kali ini Jakel memberi satu keistimewaan kepada semua pengunjung.
“ Tahun ini Jakel tak buat jualan harga melampaui daripada kemampuan.
“Kita jual pakaian dengan harga yang sangat murah dan memberi ‘cash-back’, promosi mula bulan Ramadan.
“Maksudnya kalau mereka berbelanja atas RM100 kita akan pulangkan 10 peratus dalam bentuk wang tunai, promosi terbuka untuk semua. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban netizen untuk beli belah raya,” ujar beliau. -SuaraTV