CYBERJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang telah ditunjukkan di peringkat akar umbi.
Anwar berkata, kemenangan itu perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab kerana ia merupakan amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti, mutu perkhidmatan berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh, kesejahteraan rakyat terus dipelihara serta agenda MADANI dapat dilaksanakan secara bersama.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob, atas kemenangan tersebut.
Perdana Menteri juga mendoakan agar legasi khidmat serta kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin dapat terus dipelihara dengan sebaiknya.



