Oleh Zihan Zari
SEBERANG PERAI – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggariskan tujuh (7) fokus utama dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara untuk tahun 2025.
Antaranya, penyediaan Bakat TVET Negara; Kewibawaan Akademia TVET dan warga kampus; Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), Governan dan Kepimpinan; Kemampanan Kewangan; dan Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail berkata demikian ketika menyampaikan aspirasi bagi tahun 2025 di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai (PSP), dekat sini pada Khamis.
Majlis ini merupakan satu medium bagi menjelaskan perancangan dan hala tuju JPPKK untuk tahun 2025.
Mohd Zahari dalam amanatnya menegaskan peri pentingnya kesinambungan usaha serta keberhasilan dalam misi mencapai kecemerlangan pada tahun 2025.
Beliau berkata, tujuh fokus utama pendidikan tinggi negara seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini menjadi asas bagi gerak kerja yang sistematik ke arah kecemerlangan.
Menurutnya, ianya mampu meningkatkan daya saing POLYCC di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pencapaian pada 2024, seperti kejayaan kecemerlangan pelajar, warga kerja dan keinstitusian sebagai dukungan untuk POLYCC terus komited dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui penglibatan bersepadu semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar, tenaga pengajar, pihak industri, dan komuniti setempat,” katanya.
Pada masa yang sama beliau turut berkongsi mengenai Agenda Reformasi POLYCC 2025-2035 yang menjadi rujukan strategik jangka sederhana dalam usaha mentransformasi politeknik dan memperkasa kolej komuniti.
“Sebagai permulaan, pindaan Akta 550 dan pembangunan cadangan suatu rang undang-undang khusus bagi POLYCC menjadi fokus penting dalam memperkukuh peranan, tadbir urus dan struktur pengoperasian institusi TVET tersebut,”tambahnya.
Dalam pada itu, turut diadakan pelancaran Buku Panduan Pemangkuan Skim Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), dan penyerahan Dana Trans-TECH 4TVET POLYCC 2025,
Selain itu, penyerahan sumbangan Tabung Bencana Ihsan Muafakat POLYCC serta Penyampaian Anugerah Kecemerlangan POLYCC kali ke-3.- SUARA.TV