Umno sepatutnya usahakan pengampunan penuh jika betul sayangkan Najib – Ramasamy

KUALA LUMPUR – Pemimpin Umno boleh meratap dan berkabung atas penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan tahanan rumah, namun mereka juga harus menerima tanggungjawab kerana tidak mengusahakan pengampunan diraja penuh untuk Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Dr P Ramasamy mendakwa Umno mungkin tidak menguasai sepenuhnya kerajaan, tetapi pastinya ia boleh mengusahakan pengampunan penuh untuk Najib, dengan andaian parti itu masih menyayanginya.

“Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu, hubungan ini boleh memberi ruang kepada Umno untuk mengusahakan pengampunan penuh, bukannya pengampunan separa dalam bentuk tahanan rumah,”katanya.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, persoalannya mudah: jika Anwar, ketika itu ketua pembangkang, diberikan pengampunan penuh walaupun terdapat isu mengenai sifat dan fungsi Lembaga Pengampunan, mengapa Najib bekas perdana menteri dan anak kepada perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak tidak diberikan peluang untuk pengampunan penuh, sebaliknya hanya pilihan tahanan rumah?

“Apabila timbul persoalan tentang siapa yang layak menerima pengampunan penuh—Anwar atau Najib maka Najib sebagai bekas perdana menteri wajar diberikan pengampunan penuh. Bukanlah bermaksud Anwar tidak layak, tetapi persoalannya ialah sama ada Lembaga Pengampunan itu dibentuk secara sah dan berperlembagaan.

“Peguam Najib mungkin akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi, suatu langkah yang wajar diteruskan secara logik.

“Apa pun, soalan saya kepada Anwar adalah mudah dan terus terang: apakah pendirian anda mengenai pemberian pengampunan penuh kepada Najib? Jika anda layak menerimanya, pastinya Najib juga layak menerima pengampunan diraja penuh,” ujarnya.

Sementara itu ujar Ramasamy, Umno seharusnya melupakan komen-komen menjengkelkan daripada sebilangan pemimpin DAP; mereka ibarat lilin yang menyala terang sebelum akhirnya padam.

“Umno selama tiga tahun berada dalam kuasa melalui kerjasamanya dengan gabungan PH, namun malangnya ia tidak pernah mengusahakan secara penuh dan bersungguh-sungguh pilihan pengampunan penuh untuk Najib.

“Amat dikesalkan, Umno sekadar berpuas hati dengan langkah separuh hati dengan memohon tahanan rumah,” kata beliau.

Mengulas lanjut, telah didakwa bahawa Lembaga Pengampunan yang membebaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika beliau masih menjadi ketua pembangkang tidak dibentuk dengan sewajarnya.

“Ketiadaan wakil Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan telah dijadikan alasan.

“Namun begitu, Anwar tetap menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada Mei 2018. Pengampunan diraja inilah yang membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 2022 sebelum akhirnya menjadi perdana menteri.

“Perlu diingat bahawa pengampunan diraja terhadap Anwar tidak memadamkan hakikat sabitan dan pemenjaraan beliau sebelum itu. Walaupun terdapat keraguan sama ada Lembaga Pengampunan dibentuk sepenuhnya dan dengan betul, Anwar tetap diberikan pengampunan diraja.

“Saya mendapati agak pelik bahawa dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipohon bukanlah pengampunan diraja penuh, sebaliknya tahanan rumah berdasarkan suatu addendum diraja.

“Semakan kehakiman Najib untuk mendapatkan tahanan rumah berdasarkan adendum diraja itu dikatakan wujud di luar Lembaga Pengampunan. Dengan kata lain, adendum diraja tersebut tidak dibawa melalui proses pembuatan keputusan dalam Lembaga Pengampunan.

“Ketiadaan faktor ini menyebabkan semakan kehakiman Najib ditolak atas alasan ia tidak mempunyai asas perlembagaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat