‘Bersyukur Ayah Masih Lagi Bernafas’

- Advertisement -

JOHOR BHARU: “Melihat keadaan ayah yang sudah hilang sebelah tangan, memang rasa sangat sedih tetapi saya dan keluarga tetap bersyukur ayah masih lagi bernafas,” kata Haikal Mohd Sis, 20.

Haikal adalah anak sulung pekerja selia selenggara jalan, Mohd Sis Latif, 55, yang dilanggar lori ketika bertugas membaik pulih jalan di Lebuhraya Pasir Gudang, kelmarin.

Katanya dia dimaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan daripada ibu yang mendapat panggilan daripada rakan sekerja pada hari kejadian.

“Saya tidak sangka ayah kemalangan seperti itu. Saya ingat ayah kemalangan motosikal.

“Alhamdulillah ayah masih bernafas walaupun tangan kanan ayah terpaksa dipotong dari paras siku ke bawah.

“Apabila ayah sedar memang dia terkejut lihat tangan sudah tiada. Kami sekeluarga redha tetapi saya faham ayah adalah insan yang paling sedih kerana dia yang merasa kehilangan anggota badan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Haikal, dia bersama ibu serta adik berusia 17 tahun akan bergilir menjaga ayah yang masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya ayahnya menjadi tunjang utama keluarga dan dibantu ibu yang bekerja sebagai kerani untuk membesarkan mereka tiga beradik termasuk adik bongsu berusia 10 tahun.

“Sedih itu tidak boleh digambar dengan kata-kata sebab ketua keluarga yang selama ini membesarkan kami tiga beradik dengan kudratnya, kini sudah tak ada tangan untuk terus bekerja menyara keluarga.

“Ayah sudah sedar. Boleh bercakap tetapi dia tidak ada cerita lagi mengenai kemalangan itu.

“Pada saya asal ayah selamat sudah bersyukur sangat kepada Allah. Mengenai pemandu lori yang langgar ayah itu, serah kepada pihak berkuasa,” katanya yang masih dalam latihan industri selepas sesi pembelajaran Sijil Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Melaka.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menghulurkan bantuan segera wang tunai RM500 kepada pekerja Mohd Sis.

MAINJ bersama Setiusaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani melawat Mohd Sis dan rakan sekerjanya, Izwan Maulana Buang yang cedera di kaki kanan di HSI, semalam.

Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said berkata, pihaknya akan membantu Mohd Sis mengikut keperluannya.

Katanya sekiranya perlu bantuan sara hidup bulanan akan diberikan.

“Sekiranya Mohd Sis tidak mampu bekerja selepas ini, pihak kami akan memberi bantuan dari segi sara hidup bulanan atau beri bantuan dari sudut kos perubatan yang diperlukan beliau sehingga pulih,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, Mohd Sis dan Izwan cedera selepas lori dinaiki dirempuh lori lain ketika kerja mengesan jalan berlubang untuk dibaik pulih.

Ketika kejadian, mangsa berdiri di platform hidrolik di belakang lori bersama rakan sekerja – Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat