Filem Tegkang: kisah cinta, budaya, dan rahsia di pedalaman Sarawak

- Advertisement -

Industri perfileman tempatan sering dipenuhi dengan karya bergenre seram, aksi, atau komedi. Namun, Tegkang, sebuah filem terbaru yang bakal menemui penonton pada 28 November 2024, hadir membawa kelainan dengan mengangkat tema kasih sayang, kebebasan, dan sikap berpegang pada janji, sambil memaparkan keindahan budaya kaum Kelabit di Sarawak.

Perkataan Tegkang, yang bermaksud pelangi dalam bahasa Kelabit, dipilih sebagai tajuk filem ini untuk menggambarkan harmoni dan keunikan budaya masyarakat Kelabit yang menjadi latar cerita. Filem ini diterbitkan oleh MyContent Distribution Sdn Bhd dan merupakan hasil idea asal Josh Nawan, seorang anak jati pedalaman yang turut bertindak sebagai pengarah.

Menurut penerbit eksekutif Lyn Nasihin, Tegkang bukan sekadar sebuah kisah cinta biasa, tetapi turut menyentuh isu-isu kemanusiaan yang mendalam. Filem ini dibintangi oleh Syafie Naswip sebagai Hanafi, seorang pelancong, dan Michelle Lungan, pelakon kelahiran Sarawak yang memegang watak Rinai, seorang gadis tempatan. Selain itu, filem ini menggunakan 99% pelakon tempatan Kelabit, dengan lokasi penggambaran utama di kawasan pedalaman Bario.

Tegkang mengisahkan persahabatan antara Hanafi, seorang pelancong, dan Rinai, gadis dari kampung terpencil. Hubungan mereka menjadi pemangkin kepada terbongkarnya sebuah rahsia lama yang telah tersimpan rapi dalam komuniti tersebut. Rahsia ini mencetuskan konflik yang menguji kasih sayang dan kesetiaan bukan sahaja antara Hanafi dan Rinai, tetapi juga seluruh komuniti.

Josh Nawan menjelaskan bahawa jalan cerita Tegkang diinspirasikan oleh kisah sebenar datuk saudaranya yang membesar di pedalaman. Dengan latar belakang perkampungan yang damai, filem ini memaparkan keindahan alam semula jadi dan adat resam kaum Kelabit yang jarang diketengahkan di layar perak.

Penggambaran di kawasan pedalaman seperti Bario bukanlah sesuatu yang mudah. Perjalanan selama 15 jam melalui jalan darat serta cabaran cuaca sejuk menjadi ujian buat kru produksi. Namun, semangat untuk mengangkat keunikan budaya dan keindahan Sarawak menjadikan pengalaman tersebut berbaloi.

Menurut Lyn, filem ini memberikan perspektif baru tentang Sarawak, yang sering dikaitkan dengan kisah headhunting atau legenda Bujang Senang. Sebaliknya, Tegkang menampilkan dimensi lain Sarawak yang penuh dengan adat resam dan keindahan alam semula jadi.

Tegkang telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off di Pinewood Studios UK. Filem ini turut dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024. Selain itu, Tegkang juga berjaya merangkul beberapa anugerah di Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024, termasuk Filem Cereka Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Pelakon Wanita Terbaik.

Josh Nawan berharap Tegkang bukan sahaja mendapat sambutan penonton tempatan, tetapi juga mampu memperkenalkan keunikan Bario dan kaum Kelabit ke peringkat antarabangsa. Filem ini diharapkan menjadi platform untuk masyarakat mengenali lebih dekat budaya dan kehidupan komuniti pedalaman di Sarawak.

Dengan jalan cerita yang menyentuh hati, visual pemandangan indah, dan paparan budaya yang kaya, Tegkang berpotensi menjadi salah satu karya paling berharga dalam industri perfileman Malaysia tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam mulai 28 November 2024.

author avatar
Fendi Ghafar
Venni Viddi Vinchi
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat