PM, jemaah menteri, tidak tahu buat kerja – Muhyiddin

- Advertisement -

SHAH ALAM — Sehingga hari ini kerajaan masih gagal menangani kos sara hidup rakyat dan membuktikan bahawa mereka mempunyai perancangan pembangunan ekonomi untuk negara.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pemulihan ekonomi masih perlahan walaupun ancaman COVID-19 telah berakhir dan semua sektor ekonomi telah dibuka.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyusut kepada 3.9 peratus pada tahun ini berbanding unjuran 4.3 peratus pada bulan April.

“Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga merudum sebanyak 60%, iaitu dari RM55.4 bilion bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2022 ke RM22.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun ini.

“Bagi saya, Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri tidak tahu buat kerja. Mereka gagal segagalnya. Tidak pernah terjadi dalam sejarah, perkara mudah seperti bekalan beras pun menjadi suatu masalah meruncing yang gagal diselesaikan oleh kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam situasi rakyat merungut mengenai harga barangan keperluan yang mahal, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai SST bermula tahun hadapan yang pasti menambah beban rakyat.

“Siapa yang masih layak menerima subsidi? Siapa yang tidak layak? Apa bentuk sistem yang akan digunapakai?

“Apabila subsidi ditarik balik, adakah wang darpada penjimatan subsidi akan disalurkan terus kepada mereka yang layak menerimanya? Berapa jumlah penerimanya? Berapa billion wang yang akan disalurkan kepada penerima?

“Atau adakah penjimatan daripada subsidi akan digunakan untuk tujuan lain seperti melangsai bayaran hutang negara dan membiayai lain-lain belanja mengurus?” soalnya.

Jelasnya jika rasionalisasi subsidi ingin dilaksanakan, sepatunya mekanisme termasuk kelayakan penerima dan pengagihan hasil penjimatan subsidi kepada penerima yang layak dijelaskan kepada rakyat sekarang.

“Jika subsidi dihapuskan dan SST dinaikkan dalam keadaan mekanisme pengagihan penjimatan subsidi kepada rakyat masih belum jelas, maka sudah tentu rakyat akan menanggung beban berganda.

“Sudahlah subsidi dipotong, harga barang dan perkhidmatan naik, bantuan kerajaan tidak diterima,” katanya.

Dapatan kajian Merdeka Center yang disiarkan beberapa hari lalu menunjukkan hanya 41% yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan pada bulan Oktober tahun ini berbanding 54% pada bulan Disember tahun lalu.

Hanya 32% yakin bahawa kerajaan boleh memacu pertumbuhan ekonomi, 44% meningkatkan kecekapan, 41% membela kedudukan Islam, 45% membela kepentingan Melayu dan 40% memperbaiki hubungan kaum.

Manakala 78% mengatakan masalah ekonomi adalah antara kebimbangan rakyat yang paling utama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat