Raisa pukau peminat dengan kisah cinta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Elemen haruman cinta, kasih sayang, benci, rajuk dan rindu bagai memenuhi segenap ruang premis konsert, Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Emosi itu ditebarkan penyanyi jelita dari Indonesia, Raisa pada Konsert Raisa Live In Kuala Lumpur yang julung kali dipentaskan di Malaysia.

Melalui lebih 20 untaian indah yang didendangkan, Raisa atau nama sebenar, Raisa Andriana ‘menjampi’ kira-kira 2,500 peminat yang berkongsi emosi dibawa vokalis ini.

Antara momen yang memaparkan Raisa berkongsi kedukaan dan patah hatinya adalah apabila dia mendendangkan lagu ‘berhantu’, Mantan Terindah.

Sebelum mempersembahkan lagu itu, wanita berusia 32 tahun ini mengundang seorang peminat ke pentas untuk menyanyi bersama.

Namun, Raisa meletakkan syarat iaitu individu dipilih perlu menghubungi bekas kekasihnya, pada detik itu.

Suasana menjadi gamat, apabila cabaran itu disahut penyanyi lagu Alasan Terindah dan Bebel, Farisha Iris yang secara spontan mendedahkan dia putus cinta dengan jejaka dikenali sebagai ‘N’ dua hari sebelum konsert berlangsung.

“Kami baru putus dua hari lalu. Alasan yang diberi adalah saya haram buatnya,” katanya selamba sambil disambut gelak tawa Raisa dan penonton.

Disebabkan panggilan dibuat Farisha tidak dijawab, Raisa mencadangkan agar dia merakamkan nyanyiannya itu untuk diberi kepada jejaka terbabit.

Memulakan persembahan dengan lagu Cinta Sederhana, Raisa yang tampil ringkas berseluar kulit hitam yang dipadankan dengan kemeja-T hitam berkilauan serta jaket rona merah, bagai menjanjikan malam itu bakal berakhir indah.

Persis penglipur lara, setiap lagu yang dinyanyikan pasti disulami kisah sebenar di sebalik dendangan itu.

 

Selama 12 tahun Raisa menunggu untuk mementaskan konsert di Kuala Lumpur. - Foto Ihsan Hitman Solutions
Selama 12 tahun Raisa menunggu untuk mementaskan konsert di Kuala Lumpur. – Foto Ihsan Hitman Solutions

 

Raisa menghangatkan malam dengan lagu Teman Biasa, Tentang Dirimu, Love & Let Go, Jangan Cepat Berlalu, Jatuh Hati, Usai Di Sini, Bertahan/Pergi, LDR, Bahasa Kalbu, Percayalah dan banyak lagi.

“Kebanyakan lagu yang saya tulis semuanya mengenai cinta. Bagaimanapun, cinta bukan sahaja membabitkan hubungan sesama manusia, malah kepada Tuhan dan alam,” ungkap ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini.

Seperti genre muzik yang membawa melodi tenang, konsert malam itu juga berlangsung intim.

Penonton bebas menyanyi dan menari mengikut alunan lagu yang didendangkan. Terbukti, berbekal pengalaman 12 tahun dalam dunia muzik, Raisa menghimpun peminat tersendiri di Malaysia.

“Dua belas tahun saya tunggu untuk mementaskan konsert ini. Terima kasih Malaysia, kalian semua memang comel.

“Harap saya akan diundang lagi untuk membuat persembahan di Malaysia,” katanya yang terharu melihat sambutan peminat terhadap konsert itu.

Dengan sistem bunyi berkualiti dan persembahan memukau, tidak terasa dua jam berlalu.

Konsert anjuran Hitman Solutions ini diiringi pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat