KUALA LUMPUR – Ketiadaan nama Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam senarai penerima salinan perintah penggantungan kegiatan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan mengenai status rasmi ketiga-tiga parti itu sebagai anggota gabungan berkenaan.
Berdasarkan perintah Pendaftar Pertubuhan yang dilihat Suara.TV, salinan dokumen itu dihantar kepada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Nama Wawasan, MIPP dan Pejuang tidak terdapat dalam senarai edaran tersebut.
Persoalan itu timbul walaupun PN sebelum ini mengumumkan Wawasan sebagai parti anggotanya pada Julai lalu. PN juga dilaporkan meluluskan penyertaan Pejuang.
Perintah yang dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 itu menggantung semua kegiatan PN, kecuali bagi tujuan menjawab notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya.
Pendaftar Pertubuhan sebelum ini menjelaskan bahawa notis tunjuk sebab tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan BERSATU dan bukan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu.


