KUALA LUMPUR – Pas Sabah menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijadual berlangsung tahun ini.
Pesuruhjaya Pas Sabah merangkap Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata berkata di samping persediaan jentera parti, pihaknya juga selesai dalam proses menyediakan senarai calon yang ingin diketengahkan.
“Kita hanya menanti hari pembubaran (DUN Sabah) dan juga tempoh kempen. (Senarai) calon pun kita sudah selesai…. cuma perbincangan kerusi dalam komponen PN belum dimuktamadkan (namun sudah) di peringkat akhir.
“Di peringkat PAS kita sudah hantar (senarai calon) kepada Majlis Syura PAS dan kita merasakan apa yang kita cadangkan itu akan diterima.
“Kita mungkin tidak akan pergi (sasar tanding kerusi DUN) terlalu banyak. Saya boleh anggarkan mungkin paling banyak pun akan pergi kepada 15 kerusi,” lapor Sinar Harian di Papar pada Rabu.
Mengulas program hari ini, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik berkata pihaknya mendengar luahan komuniti nelayan yang berdepan isu disaman kerana melepasi kawasan persempadanan perairan dilindungi.
“Antara isunya adalah isu saman terlalu tinggi dan juga nampak pihak berkuasa agak kurang berbicara.
“Saya ingat Taman-Taman Sabah ini di bawah kerajaan negeri. Jadi sepatutnya sebelum diwartakan (sesuatu) kawasan dan juga ditentukan sempadan mana-mana tempat sama ada pulau, taman dan sebagainya, libatkan perbincangan dengan rakyat (komuniti nelayan).
“Sebab di sana (laut) rakyat mencari makan dan ia sumber utama mereka menyara keluarga. Jadi ada dua perkara (perlu diberi perhatian). Pertama, pihak berkuasa kena mengadakan perbincangan dan ambil keputusan.
“Kedua, saya mohon kerajaan tangguhkan sebarang hukuman sehingga kita bawa perkara ini kepada pihak tertentu khususnya Taman-Taman Sabah dan pihak Ketua Menteri Sabah yang ada kuasa eksekutif untuk masalah ini,” katanya.



