DAP tutup aib slogan “Malaysian Malaysia” dengan peluk cium pemimpin Umno – Lian Ker

KUALA LUMPUR – Sebenarnya, DAP telah berusaha keras untuk menutup keaiban dan menyamarkan 15 Perkara dalam “Deklarasi Setapak” yang menuntut kesamarataan kaum di bawah slogan “Malaysian Malaysia”.

Deklarasi itu merupakan cabaran terus kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan ini tidak disenangi oleh pengundi Melayu.

Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa, DAP terdesak untuk ‘menyucikan’ bayangan hantu Deklarasi Setapak itu selama bertahun-tahun kerana sedar tanpa sokongan Melayu, mereka tidak mungkin berkuasa seperti yang sangat mereka idamkan.

Akhirnya DAP berjaya dan kini cuba menutup hantu “Deklarasi Setapak” yang belum mati secara rasminya.

“Oleh itu, mereka terpaksa menghulurkan siri pelukan dan rangkulan kepada pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang pernah mereka demonisasikan seperti Tengku Razaleigh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan “trophy” terkini mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Semua tokoh ini pernah menjadi sasaran cercaan politik DAP dalam ceramah umum ketika mereka masih dalam Umno. Tetapi selepas ditolak atau disingkirkan daripada Umno, mereka tiba-tiba disambut sebagai wira, seolah-olah satu bentuk penyelamatan telah berlaku.

“Perbuatan memeluk, mencium dan merangkul ini sebenarnya tidak terhad kepada bekas pemimpin Umno sahaja. DAP juga pernah melakukannya terhadap pemimpin Umno yang masih aktif seperti DatUK Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Zahid Hamidi apabila peluang terbuka.

“DAP juga tidak mengehadkan permainan politik memeluk, merangkul dan mencium pemimpin Melayu kepada Umno semata-mata. Dalam dekad terakhir, DAP dengan berani telah memperluaskan langkah ini dengan menggoda, memeluk serta merangkul pemimpin Pas dahulu dan sekarang seperti Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang, bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Mat Sabu, serta bekas Naib Presiden Pas Husam Musa,” selar Lian Ker.

Bagaimanapun katanya, tidak seperti MCA yang berulang kali dipaksa berdepan dengan Umno dan Pas dalam isu-isu berteraskan sentimen Melayu atau Islam, DAP telah menguasai dan menyempurnakan seni permainan politik dengan cara memburukkan MCA di mata pengundi Cina, tetapi pada masa yang sama tampil begitu akomodatif apabila berhadapan dengan khalayak atau kumpulan Melayu.

Menurut Lian Ker lagi, sebelum berkuasa dengan sokongan Umno dan BN, DAP membenci segala-galanya tentang Umno dan akan menjadikan mana-mana pemimpin atau individu Umno sebagai sasaran serangan politik mereka atau meradikalisasikan penyokong mereka untuk membenci Umno dan sekutunya MCA dan MIC dengan “war cry” ABU atau “Asalkan Bukan Umno”.

Ujarnya, mereka berjaya meradikalisasikan penyokong mereka sehingga masyarakat Cina yang masih bersama atau menyokong Mca akan dianggap “pengkhianat bangsa” atau dicaci sebagai “Anjing Umno”.

“Semua ini dilakukan secara tersusun dan sistematik sehingga penyokong mereka membara penuh perasaan kebencian terhadap Umno dan sekutunya. ( Bolehkah kita lupakan segala-gala ini tanpa DAP minta maaf dan bertaubat. Sekiranya boleh, maka kita lupakan sejarah sahaja dan tokoh-tokoh Umno seperti Puad Zakarshi dan Akmal Salleh jangan pula merujuk pada “Sejarah Melayu” lagi? )

“Ironinya, apabila mana-mana pemimpin Umno keluar atau disingkirkan dari Umno, dan menunjukkan sedikit sahaja kesediaan untuk berbaik dengan mereka, DAP akan menyambutnya dengan tangan terbuka seolah-olah menyambut seorang wira yang sudah disucikan dan “didewakan” jentera proaganda DAP.

“Tidak jarang juga pemimpin-pemimpin ini diangkat dan dipuja bagai kad ‘Ace of Spade’ ataupun dianggap sebagai penyelamat politik mereka. Misalannya naratif mereka mengenai Tun Dr Mahathir sebagai kunci mereka menjatuhkan kuasa Umno selama 60 tahun dan naratif “Superman DAP” yang mengatakan “use Malay to screw Malay”.

“Satu lagi pemimpin tinggi DAP memberi kiasan bahawa mendiang Lee Kuan Yew sedang menunggu Tun Mahathir sebagai “kiasan” atau “bayangan” DAP cuma memperalatkan Tun Mahathir untuk sementara sahaja di mana Tun M juga disamakan sebagai kuda tunggangan berdasarkan nama Ma yang bermaksud “kuda” dalam bahasa Cina.)

“Inilah hipokrasi yang telah diamalkan oleh DAP selama berdekad-dekad tanpa segan silu kerana mereka telah menguasai seni politik kebencian dan sering terlepas daripada “hukuman politik” tetapi sering memanfaatkan DAP. Maka UMDAP juga akan menjadi satu kejayaan DAP sekiranya ia menjadi kenyataan,” dakwa beliau.

Kata Lian Ker lagi, mantera politik mereka, khususnya kepada masyarakat Cina, ialah “Umno punca penderitaan kamu” dan “MCA telah menjual hak orang Cina” dengan menyokong Umno.

“Ini berpunca daripada kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta dasar-dasar kerajaan yang berteraskan bangsa dan agama ini.

“Daripada menerangkan kepada masyarakat mengenai kompromi politik yang telah dicapai serta memberikan pencerahan tentang latar belakang sejarah kewujudan dasar dan peruntukan perlembagaan ini, DAP memilih untuk mengeksploitasi sentimen dan menyalakan api kebencian terhadap MCA dan Umno sebagai punca perpecahan kaum-agama tanpa memberi pencerahan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP perlulah bertaubat dan secara rasminya mengeluarkan kenyataan umum bahawa Deklarasi Setapak adalah satu kesilapan dan juga menerima latarbelakang serta sejarah kompromi Umno, MCA dan MIC adalah satu kompromi yang perlu dan jitu demi keharmonian dan pembentukan negara.

“Mantera politik ini terlalu berkesan bagi mereka sehingga DAP terus mengambil jalan mudah dengan meneruskan amalan menghasut kebencian perkauman, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya sehinggalah mereka menawan 95 peratus undi Cina.

“Dengan itu, DAP tidak perlu melakukan kerja keras dalam memberi khidmat sosial-politik, menyediakan penyelesaian politik, atau meredakan ketegangan kaum dengan menghadapi realiti ‘tali tegang’ kaum-agama di Malaysia,” selar Lian Ker.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat