Kuala Lumpur – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dirinya pernah terlibat menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu.
“Saya, Mahdzir Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap (merangkap) Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,” katanya melalui satu kenyataan ringkas kepada SuaraTV sebentar tadi
Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas terhadap laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita.
Terdahulu portal tersebut mendakwa ahli parlimen Padang Terap itu merupakan antara salah seorang ahli parlimen UMNO yang telah menyatakan persetujuan untuk menyokong Anwar.
Selain Mahdzir turut dikatakan telah menyokong Anwar ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Portal tersebut turut mendakwa seramai 19 ahli-ahli parlimen dari UMNO telah menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk mengantikan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar, dalam satu sidang media khas pada Selasa, mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.
Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – SuaraTV