KUALA LUMPUR, – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan kononnya kerajaan telah bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.
Beliau berkata tuduhan tersebut timbul selepas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, YB Dr. Haim Hilman bin Abdullah, membuat kenyataan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah yang kemudiannya dijadikan bahan di platform media sosial.
“Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan, termasuk isu berkaitan pendidikan tinggi. Hanya berdasarkan laporan akhbar di Bangladesh, beliau menuduh kononnya saya telah bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh. Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali,” kata Dr. Zambry dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Menurut beliau, semasa lawatan Profesor Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini, tiada sebarang memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan Bangladesh berkaitan penerimaan pelajar tersebut untuk bekerja di negara ini.
“Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian tidak berasas. Kenyataan yang mendakwa rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.
Dr. Zambry turut menegaskan bahawa sebagai seorang berlatarkan akademik, YB Dr. Haim Hilman seharusnya mengeluarkan kenyataan berasaskan fakta yang benar, sahih dan tepat, bukannya spekulasi atau maklumat semberono.
“Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, tepat dan benar. Saya ingin menegaskan agar beliau tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, budaya menghasilkan kandungan di media sosial hanya untuk diviralkan tetapi berasaskan fakta salah perlu segera dihentikan.-SUARA.TV



