ALOR SETAR, – Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini memutuskan kemenangan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Keputusan itu menutup pertikaian undang-undang yang bermula sejak dua tahun lalu dan menyaksikan mahkamah mengesahkan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Saifuddin terhadap Sanusi adalah fitnah yang menjejaskan reputasi beliau sebagai pemimpin negeri.
Kes berkenaan berpunca daripada ucapan Saifuddin dalam Program Jelajah Madani pada 15 Julai 2023 ketika kempen Pilihan Raya Negeri Keenam. Dalam ceramah tersebut, Saifuddin mendakwa Sanusi “mencuri unsur nadir bumi (REE) dan didenda sebanyak RM500,000.”
Sehari sebelum itu, pada 14 Julai 2023, beliau juga dalam satu sidang media menuduh kononnya Sanusi telah menyalahgunakan dana penyelenggaraan jalan raya MARRIS bernilai RM1.6 bilion untuk tujuan pembangunan lain yang tidak sepatutnya. Tuduhan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada tindakan saman yang difailkan oleh Sanusi pada 3 Ogos 2023.
Sepanjang perbicaraan yang berlangsung pada April hingga Mei tahun ini, pihak plaintif berjaya menolak cubaan Saifuddin menggunakan surat kompaun RM500,000 yang dikaitkan dengan MBI Kedah sebagai bukti.
Mahkamah menerima hujahan bahawa surat tersebut telah dibatalkan dan tidak pernah dikuatkuasakan.
Sanusi juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyalahgunakan dana MARRIS, malah pengurusan dana tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan dan perkara itu turut diakui oleh Saifuddin sendiri ketika disoal balas.
Mahkamah kemudiannya menilai kesan kenyataan yang dibuat dalam kempen politik tersebut terhadap reputasi Sanusi, termasuk implikasi kepada margin kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Negeri Kedah.
Dalam penghakiman hari ini, mahkamah memutuskan bahawa kenyataan Saifuddin berbentuk fitnah yang telah mencemar imej peribadi dan politik Sanusi.
Mahkamah mengarahkan Saifuddin membayar ganti rugi am sebanyak RM600,000 dan kos guaman berjumlah RM70,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM670,000.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan beliau membuat permohonan maaf terbuka melalui satu akhbar berbahasa Melayu dan satu akhbar berbahasa Inggeris.
Teks permohonan maaf itu hendaklah disemak dan diluluskan oleh pihak Sanusi terlebih dahulu sebelum disiarkan.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi kekal yang menghalang Saifuddin daripada mengulangi tuduhan yang sama pada masa akan datang.
Beliau turut diarahkan mengeluarkan atau menyembunyikan rakaman video ceramah dan sidang media yang mengandungi kenyataan fitnah berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.
Di samping itu, satu perintah pembayaran faedah lima peratus setahun turut dikenakan ke atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh saman difailkan sehingga ia diselesaikan sepenuhnya.-Suara.TV



