KUALA LUMPUR – Semua jentera parti komponen Kerajaan Perpaduan akan digerakkan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada September ini memandangkan demografi penduduk yang mewakili masyakarat majmuk.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kempen di PRK DUN Mahkota digerakkan secara hibrid melibatkan semua jentera komponen parti Kerajaan Perpaduan.
“Oleh kerana terdapat kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota itu terdiri daripada pengundi-pengundi keturunan Cina, jadi kita menyantuni semua parti di dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.
“Untuk itu, ada segmen tertentu yang kita memberikan kepada DAP dan ada segmen yang lain, kita berikan kepada MCA.
“Begitu juga terdapat lebih kurang dalam 8,000 pengundi-pengundi India, ini kita minta MIC menggerakkan jenteranya bersama-sama dengan kepimpinan dan juga ahli-ahli India dalam PKR.
“… dan kita benar-benar melakukan pendekatan hibrid untuk PRK DUN Mahkota ini,” jelas Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Terdahulu, DAP akan membantu kempen memenangkan calon Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan depan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata DUN Mahkota berada di bawah Parlimen Kluang, yang diwakili Wong Shu Qi daripada DAP.
Beliau yang juga Timbalan pengerusi DAP Johor, berharap bantuan partinya nanti akan dapat melancarkan kempen PRK DUN Mahkota dalam usaha memastikan kerusi itu kekal diwakili parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya daripada UMNO, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 14 September, manakala pengundian awal 24 September dan hari pengundian pada 28 September.