KUALA LUMPUR – Majlis Ulama Umno (MUU) menzahirkan kekesalan atas sikap dan cara berpolitik di pentas demokrasi yang keras dan kasar ditampilkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai lebih “dajjal” daripada “dajjal”.
Majlis Ulama Umno dalam kenyataan pada Sabtu berkata, naratif politik sebegini akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong dan ahli PAS dan Umno awal 80-an menerusi cetusan amanat-amanat dan ucapan-ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah
diredakan menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019.
“Politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baru masyarakat Malaysia.
“Umum umat Islam mengenali susuk “dajjal” menerusi Hadis-hadis Rasulullah (saw) sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa alaihissalam di akhir zaman sebelum kiamat.
“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama Muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia,” katanya.
Justeru Ulama Umno, mengajak semua pihak khususnya para alim ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi Malaysia dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11.
Hadi melalui tulisannya dalam Minda Presiden PAS bertajuk “Politik Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan Umno-PH” di Facebook beliau, mendakwa PRK DUN Nenggiri di Kelantan baru-baru ini, menyaksikan betapa politik dajjal menjadi senjata lama yang merosakkan Umno terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah.