KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Kerajaan Malaysia berhubung pembekuan akaun bank beliau dan isteri.
Menurut Hamzah, peguam beliau sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia.
Hal ini kerana mengheret nama beliau dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan dirinya.
“Saya mengesahkan bahawa akaun saya dan isteri telah dibekukan sejak semalam oleh pihak berwajib.
“Saya percaya bahawa tindakan ini diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam Kerajaan di Putrajaya,” kata Setiausaha Agung Bersatu itu dalam kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Larut itu malah menegaskan, pembekuan akaun itu yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.
“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada Perikatan Nasional yang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN baru-baru ini.
“Tindakan pendakwaan politik ini samalah dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana SPRM dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin PN, tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” kata Hamzah lagi.
Justeru beliau pasti bahawa lebih banyak tindakan politik akan diambil ke atas dirinya dan pemimpin PN dalam masa terdekat, termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasat saya kerana mengkritik DAP dalam kempen Pilihan Raya Negeri.
“Kezaliman kerajaan PH-BN ini tidak akan menghentikan perjuangan saya.
“Demi masa depan negara dan rakyat saya akan terus melawan kerajaan zalim ini,” katanya.