Rafizi kemuka bukti kaitkan Abd Latiff, Zainab Mohd Salleh dalam projek LCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengemukakan bukti-bukti lain bagi mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, Rafizi tetap mempertahankan dakwaannya sebelum ini bahawa Zainab Mohd Salleh merupakan isteri kedua Abd Latiff meskipun ahli parlimen Mersing itu telah menafikannya.

Menurut Rafizi, Zainab Mohd Salleh merupakan isteri kedua Abd Latiff, individu yang menguasai dua syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan projek LCS serta memiliki sebuah lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama bekas timbalan menteri pertahanan itu pada Ogos 2015.

Syarikat Mega P Asia Sdn Bhd itu juga memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit dan disebut dalam laporan audit forensik sebagai syarikat yang membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek kapal selam Scorpene membabitkan jutaan ringgit.

“Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan.

“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

“Thierry Barrier dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah seorang individu yang terlibat di dalam pemalsuan invois-invois Alizes Marine Limited menggunakan pelbagai alamat palsu di Perancis.

“Hubung kait di antara Dr Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu,” dakwa Rafizi.

Menurutnya, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati Abd Latiff memegang 105,002 saham manakala Zainab memiliki 245,000 saham dalam Mega P Asia setakat 2017.

Rafizi berkata hal ini turut disokong oleh laporan kewangan Mega P Asia Sdn Bhd bagi tahun 2016 yang mendedahkan bahawa syarikat itu dikawal oleh Zainab.

“Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana dari projek LCS.

“Jika benar Zainab Mohd Salleh bukan isteri (kedua) Dr Latiff Ahmad seperti yang disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Dr Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab Mohd Salleh mengawal Mega P Asia Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek-projek Kementerian Pertahanan?” soal Rafizi.

Selain itu, Rafizi berkata, dia juga mengesahkan kewujudan Zainab Mohd Salleh dengan menjejaki “digital footprint” di Facebook.

“Pada hari Dr Latiff Ahmad mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, salah seorang dari yang mengucapkan tahniah di posting Facebook Dr Latiff bertarikh 30 Ogos 2021 adalah Zainab Mohd Salleh.

“Isu yang wajib dijawab oleh Dr Latiff Ahmad (tetapi langsung tiada apa-apa maklum balas setakat ini) ialah pendedahan-pendedahan saya bahawa Zainab Mohd Salleh adalah pemilik syarikat-syarikat palsu Alizes Marine Limited yang menyelewengkan dana dari projek LCS.

“Apatah lagi apabila Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta semalam (dan kini boleh dibaca di laman Parlimen) secara terang telah menyatakan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad,” kata Rafizi.

Pada Isnin, Rafizi mendakwa Abd Latiff dan Zainab sebagai “jerung besar” yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak memiliki kelayakan.

Rafizi berkata Abd Latiff, yang kini merupakan pemimpin Bersatu, pada masa itu merupakan timbalan menteri pertahanan dari UMNO, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat