Syarat dua dos vaksin sebelum ‘shooting’ kekal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarat mewajibkan artis, petugas dan kru produksi mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 sebelum memulakan kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), kekal.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata faktor keselamatan dan situasi semasa penularan COVID-19 menyebabkan syarat dua dos suntikan vaksin kepada artis, pekerja dan kru produksi dikuatkuasakan.

“Ini adalah syarat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan… Kita sudah pun berunding.

“Disebabkan itu, saya tidak berhasrat meminta pengecualian kerana kita memang faham mengapa prosedur operasi standard (SOP) sebegitu ditetapkan.

 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berunding dengan Kementerian Kesihatan dan PICK agar proses pemberian dua dos vaksin kepada penggiat seni dipercepatkan selepas kebenaran penggambaran di luar studio diberi di bawah Fasa Kedua PPN. Foto Hiasan BH

“Malah, proses pemberian vaksin COVID-19 yang semakin rancak turut memberi keyakinan kepada kami,” katanya selepas sesi ramah mesra bersama penerima Dana Kandungan Digital (DKD) untuk kategori filem, program televisyen (TV) dan mikro yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) secara virtual, semalam.

Sebaik pengumuman mengenai kebenaran meneruskan kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua PPN dibuat, syarikat produksi terutama yang mempunyai produk tertangguh atau siap ‘separuh jalan’ menyambut baik keputusan itu selepas lama menanti.

Bagaimanapun, peraturan yang mewajibkan semua pekerja termasuk artis dan kru melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat untuk kembali ke lokasi dilihat menyukarkan.

Syarikat produksi menganggap syarat itu kurang praktikal kerana masih ramai penggerak industri gagal mendapat slot temu janji suntikan vaksin COVID-19 atau jika ada pun, hanya mendapatkan dos pertama.

Saifuddin berkata, kerajaan bagaimanapun tidak akan membiarkan penggiat seni terus berada dalam dilema berikutan syarat itu.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merayu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin untuk membolehkan pemberian dos kedua vaksin kepada penggiat seni dipercepatkan.

“Apa yang kami boleh lakukan adalah memohon kerjasama pihak terbabit supaya pekerja seni yang baru dapat vaksin disegerakan untuk pemberian dos kedua.

“Usaha ini sama seperti yang kita lakukan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal diadakan pada 31 Ogos dan 16 September nanti.

“Walaupun MKN belus meluluskan SOP, namun, saya boleh bayangkan SOP yang bakal dikenakan. Tentunya setiap peserta yang terbabit dalam persembahan sempena Hari Kebangsaan diwajibkan melengkapkan dua dos vaksin COVID-10,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkaan aktiviti penggambaran filem dibenarkan, Saifuddin berkata, cadangan itu masih diperhalusi.

“Kalau ditanya Kementerian Kesihatan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), sudah tentu kami mahu ia berlaku sekarang.

“Tetapi kita faham KKM dan MKN ada perkiraan mereka sendiri. Buat masa ini, masih ada keputusan mengenai perkara itu.

“Sekarang kita berada dalam fasa kedua PPN. Harapan saya, pada fasa ketiga kelak, akan ada lebih banyak kebenaran diberi kepada semua,” katanya.

Kelulusan aktiviti penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua PPN berpandukan pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia FINAS.

Kebenaran melakukan aktiviti penggambaran di luar hanya diberi kepada syarikat penerbitan yang mempunyai baki kerja atau ‘job’ tertangguh, bukan untuk penghasilan produk baharu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat