Kuala Lumpur – Bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad mengumumkan keluar dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Zakaria dalam satu sidang akhbar di ibu negara sebentar tadi berkata, tindakan itu dilakukan kerana Amanah dilihat telah tersasar dari prinsip yang diperjuangkan.
“Saya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada tahun 2018 yang mana penyertaan tersebut adalah berdasarkan niat saya untuk menjadikan Amanah sebagai platform untuk saya menyumbang bakti kepada masyarakat dari segi program-program yang mampu membantu menaikkan taraf hidup sosio-ekonomi mereka.
“Namun yang demikian, saya melihat visi dan objektif Amanah semakin lama-semakin tersasar dan tidak selari dengan prinsip dan pendirian saya.
“Hal-hal dalaman parti juga menjadikan keadaan semakin sukar untuk saya menjalankan apa yang telah dirancang dan bergerak kehadapan.l,” katanya.
Serentak dengan itu, Zakaria turut mengumumkan permohonannya untuk menyertai UMNO.
“Oleh yang demikian, setelah memberi pertimbangan sewajarnya, saya percaya bahawa UMNO yang merupakan komponen kerajaan Perikatan Nasional hari ini adalah platform terbaik untuk saya terus memberikan sumbangan kecil saya kepada masyarakat dan Negara khususnya.
“Maka dengan ini, saya mengumumkan untuk keluar dari Amanah dan seterusnya menyertai UMNO sebagai ahli,” ujarnya.
Zakaria menyerahkan borang permohonan sebagai ahli kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau sebelum ini menjadi anak peneroka pertama yang dilantik menerajui konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama dunia itu.