UMNO memainkan peranan lebih penting di Sabah berbanding parti nasional lain di Sarawak – Salleh

KUALA LUMPUR – UMNO di Sabah memainkan peranan lebih penting berbanding parti nasional lain di Sarawak kerana sejarah kemasukannya ke negeri itu berkait langsung dengan usaha menyatukan sokongan Bumiputera Islam.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, laluan politik Sabah dan Sarawak berkembang secara berbeza sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Menurut beliau, Sarawak sejak awal mengekalkan dominasi parti tempatan apabila UMNO tidak pernah bertapak di negeri itu bagi mengelakkan perpecahan sokongan Bumiputera, khususnya Bumiputera Islam.

Sebaliknya, kata Salleh, UMNO memasuki Sabah pada 1991 atas jemputan Tun Mustapha Harun dan United Sabah National Organisation (USNO) bagi menyatukan sokongan Bumiputera Islam.

“UMNO kemudiannya memainkan peranan dominan dalam politik Sabah untuk tempoh yang panjang,” katanya yang juga merupakan Bendahari UMNO Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata realiti politik Sabah kini sudah berubah apabila Bumiputera berpecah kepada beberapa blok politik dan UMNO bukan lagi wadah tunggal penyatuan.

“UMNO Sabah tidak lagi memainkan peranan dominan, sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri yang diterajui serta ditunjangi gabungan parti tempatan,” katanya.

Salleh berkata, parti nasional seperti PKR, DAP dan PAS pula hadir di Sarawak melalui naratif reformasi, keadilan sosial dan politik pelbagai kaum, namun pengaruh mereka terhad kepada kawasan tertentu.

Katanya, kawasan luar bandar dan campuran di Sarawak kekal menjadi kekuatan parti tempatan, menjadikan negeri itu lebih cenderung kepada kepimpinan tempatan dalam isu hak, pembangunan dan MA63.

Beliau berkata, masa depan UMNO di Sabah bergantung kepada penerimaan realiti baharu itu serta kerjasama strategik bagi memperkukuh perpaduan, pembangunan Sabah dan pelaksanaan MA63.

Secara keseluruhan, Salleh berkata Sarawak kekal dipacu parti tempatan, manakala Sabah mengekalkan keseimbangan antara kekuatan tempatan dan peranan pelengkap parti nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat