KUALA LUMPUR – BERSATU menegaskan tiada mana-mana Presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai kuasa veto untuk mencabar keputusan Majlis Tertinggi PN yang dibuat secara konsensus.
Biro Politik BERSATU berkata demikian ketika menyangkal dakwaan bahawa parti itu menolak penyatuan ummah kerana tidak menyokong permohonan parti-parti lain untuk menjadi anggota rasmi PN.
Menurut BERSATU, pendirian parti itu adalah jelas iaitu PN boleh terlebih dahulu mengadakan kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan parti-parti berkenaan sebelum kemasukan mereka sebagai parti anggota PN dipertimbangkan kemudian.
“Inilah pendirian dan keputusan PN sebelum ini. Pendirian ini dikekalkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 dan sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk memperhalusi terma-terma kerjasama pilihan raya termasuk pembahagian kerusi,” menurut kenyataan itu.
BERSATU berkata, walaupun pelbagai pandangan dikemukakan dalam mesyuarat MT PN, keputusan tersebut dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat.
Menurut parti itu, keputusan berkenaan adalah keputusan kolektif yang dibuat secara konsensus demi kepentingan strategik dan kestabilan PN secara keseluruhannya.
BERSATU turut melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung pendirian parti itu dalam kerjasama PN.
Katanya, BERSATU berpegang kepada prinsip musyawarah dan perbincangan dalam MT PN berhubung perkara dasar serta isu-isu berbangkit dalam kerjasama gabungan tersebut.
“BERSATU mendukung semua keputusan MT PN yang dibuat dalam semangat PN yang saling menghormati dan meraikan perbezaan serta berjaya mencapai konsensus demi kesatuan dan kekuatan PN yang dibina sejak enam tahun yang lalu.
“Adalah menjadi amalan PN semua perkara penting mengenai dasar dan hala tuju PN serta isu-isu berbangkit dibawa ke mesyuarat MT PN, dibahas dan diputuskan secara musyawarah,” menurut kenyataan itu.
BERSATU berkata amalan itu telah dilaksanakan sejak PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru, parti itu menegaskan tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar mesyuarat sehingga memberi gambaran seolah-olah ada Presiden parti diberikan kuasa veto.
“PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam perjalanan ini tetapi masalah yang besar berjaya dirungkai dengan semangat dan keluhuran prinsip dan kebijaksanaan kepimpinan,” menurut kenyataan itu.



