KUALA LUMPUR: Sebanyak 91 peratus daripada 271,472 kandungan yang diminta untuk diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada penyedia platform media sosial dikenal pasti berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jumlah itu direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari 2026 hingga semalam.
Menurut beliau, sebanyak 81 peratus kandungan perjudian dalam talian dikesan di platform Facebook, manakala 58 peratus kandungan penipuan dalam talian turut dikenal pasti berada di platform sama.
“Saya dimaklumkan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia bahawa tahun lalu, bank-bank di Malaysia berjaya menyekat kira-kira RM1.2 bilion yang cuba dicuri oleh penipu melalui mekanisme keselamatan institusi perbankan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi berkata situasi itu amat membimbangkan memandangkan sindiket penipuan dilaporkan telah memperdaya rakyat Malaysia sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM2.7 bilion tahun lalu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Abdul Karim Fakir Ali, Penasihat Asia Tenggara Global Anti-Scam Alliance (GASA) Rajeshpal Singh Sandhu dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata hasil permukiman tersebut turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas melibatkan agensi penguat kuasa, badan kawal selia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan bagi memperkukuh kerjasama membanteras jenayah penipuan dalam talian secara lebih bersepadu.
Menurut beliau, jawatankuasa itu dijangka dibentuk dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas nota berkaitan dibawa ke Jemaah Menteri.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan teknik baharu digunakan sindiket scam termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat dikenal pasti lebih pantas selain memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Pada majlis sama, Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Global Anti-Scam Alliance.
MoU tersebut bertujuan memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian termasuk melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti, advokasi dan pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman penipuan digital.
Kerjasama itu juga mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman scam digital serta menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai.
Menurut laporan Bernama, peningkatan kandungan berkaitan scam dan judi dalam talian di media sosial menunjukkan ancaman jenayah digital kini semakin serius serta memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak termasuk kerajaan, platform media sosial dan institusi kewangan.



