Beberapa Mukim, Lokaliti Di Labuan, Pahang dan Sabah Dikenakan PKPD – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa mukim dan lokaliti melibatkan Labuan, Pahang dan Sabah susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di Labuan melibatkan lima zon kecil berkuat kuasa 26 Mei hingga 24 Jun.

“Berdasarkan kepada situasi semasa peningkatan mendadak kes COVID-19 di Labuan adalah susulan daripada peningkatan kes di semua negeri di Malaysia dan kesemua lima zon kecil kini berstatus jingga dan merah.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan di Labuan pada 23 Mei adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala yang lebih besar.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua kawasan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Pahang pula melibatkan tiga mukim iaitu mukim Kuala Lipis, mukim Penjom dan mukim Budu di daerah Lipis berkuat kuasa 26 Mei hingga 8 Jun.

“Sehingga kini, mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, mukim Kuala Lipis (24) dan mukim Penjom (57) menjadikan keseluruhan kes dikesan daripada ketiga-tiga mukim ini adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga 24 Mei daripada keseluruhan 938 orang yang disaring.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya.

Sementara itu, bagi pelaksanaan PKPD di Sabah pula, Ismail Sabri berkata ia melibatkan dua lokaliti di Putatan iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau, Ladang FELDA Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan di Kalabakan dan Kampung Sungai Imam di Tawau mulai 26 Mei hingga 8 Jun depan.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh satu minggu di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau apabila 21 kes positif direkodkan hasil daripada 282 ujian saringan yang dilaksanakan.

“Bagi Ladang FGV Kalabakan Selatan, sebanyak sembilan kes positif telah direkodkan hasil ujian saringan ke atas 47 orang di lokaliti tersebut manakala di Kampung Sungai Imam pula sebanyak 17 kes positif direkodkan hasil daripada 57 ujian saringan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata PKPD di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 8 Jun depan.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 1,092 ujian saringan dan 140 individu disahkan positif manakala 75 sampel saringan masih menunggu keputusan. KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga direkodkan,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Felda Umas, Kalabakan di Sabah dan PKPD di Kampung Bako Hilir, Kuching di Sarawak ditamatkan seperti yang dijadualkan esok.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata seramai 800 individu ditahan kerana ingkar SOP semalam.

Katanya antara kesalahan termasuk tiada penjarakan fizikal sebanyak 248 kes, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (219), tidak memakai pelitup muka (133), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (61), bawa penumpang berlebihan (38) manakala lain-lain kesalahan sebanyak 126 kes. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat