KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad kekal diperintah membayar ganti rugi dan kos berjumlah RM825,000 kepada veteran DAP kerana memfitnah dan mengaitkan mereka dengan komunis, tiga tahun lalu.
Veteran dan pemimpin DAP itu ialah Tan Sri Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara menolak rayuan Mastura dan mengekalkan jumlah ganti rugi RM750,000 dan kos RM75,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2024.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datin Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut menolak rayuan balas mereka (plaintif dalam kes saman) untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diputuskan hakim berkenaan, lapor MalaysiaGazette di Putrajaya pada Jumaat.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Ahmad Kamal berkata, panel itu bersetuju sepenuhnya dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Siti Mastura memfitnah ketiga-tiganya ketika mengaitkan mereka dengan komunis.
Kenyataan itu menyebut mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Pernyataan tersebut disampaikan dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK), Terengganu pada 4 November 2023 yang kemudian disiarkan oleh pihak ketiga.
“Kami bersetuju sepenuhnya dengan analisis Mahkamah Tinggi bahawa makna semula jadi terhadap perkataan yang dipertikaikan (dalam ucapan defendan), bukan sekadar kritikan politik. Sebaliknya, dia membuat dakwaan mengaitkan plaintif dengan Chin Peng.
“Dalam konteks masyarakat Malaysia, untuk melabel seseorang atau membayangkan bahawa mereka bergabung dengan parti Komunis yang diharamkan, atau musuh negara atau ancaman kepada keselamatan negara dan Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat dinafikan merupakan perbuatan memfitnah.
“Kenyataan sebegitu menyentuh kesetiaan, integriti dan reputasi seseorang,” katanya.
Ujar Hakim Ahmad Kamal, panel itu selanjutnya bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa defendan (Mastura) memang berniat untuk menerbitkan semula perkataan-perkataan tersebut termasuk melalui video TikTok dan artikel dalam sebuah portal.
“Keterangan menunjukkan klip video ceramah itu telah dirakam dengan kebenaran, bukan secara rahsia oleh penonton atau mana-mana jemputan ke majlis itu.
“Tidak kira sama ada klip video itu dikeluarkan atau dibocorkan dengan kebenaran atau sebaliknya, ia tidak merendahkan takrifan penerbitan.
“Dalam hal ini, mahkamah bersetuju bahawa perayu berniat menerbitkan semula dan menyebabkan penerbitan artikel dalam portal tersebut kerana kandungannya berasal daripada kenyataan beliau,” ujarnya.
Menurut Hakim Ahmad Kamal, panel itu berpuas hati perayu tidak menjelaskan pendiriannya dan tidak mengarahkan media untuk menarik balik artikel berkenaan yang mana tindakan itu jelas menunjukkan beliau membenarkan ia diterbitkan semula.
Panel itu selanjutnya menyatakan, perayu tidak mengambil langkah sewajarnya dengan menghubungi ketiga-tiga pemimpin itu untuk mengesahkan ketepatan kenyataan sebelum disiarkan.
Oleh yang demikian, Mahkamah Tinggi betul ketika mencapai dapatan bahawa perayu berniat jahat kerana tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya apabila diberi peluang.
“Kegagalan ini menunjukkan perayu kurang memberi perhatian dan ini menghalangnya untuk menggunakan pembelaan perlindungan bersyarat,” ujarnya.
Ujar Hakim Ahmad Kamal, mahkamah turut berpuas hati bahawa kenyataan tersebut bukan dibuat atas komen yang adil dan juga tidak melayakkan perayu menggunakan pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Pada prosiding hari ini, perayu diwakili peguam Dr. Yusfarizal Yussoff and Mohd Faizi Che Abu manakala Kit Siang, Guan Eng dan Teresa diwakili Datuk Sankara Nair.
Pada 4 Disember 2024, Hakim Datuk Quay Chew Soon membenarkan saman mereka selepas berpuas hati, kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan komunis adalah fitnah kerana tidak disokong dengan bukti.
Justeru, mahkamah mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa Kok (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.
Bagaimanapun, media pada 23 Januari tahun lalu melaporkan, Siti Mastura telah melunaskan sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu, sehari sebelumnya.



