Tak boleh terus bergantung kepada subsidi, kawalan harga, kerajaan wajar urus bekalan minyak – Syahir

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan subsidi menyeluruh dan mekanisme kawalan harga sedia ada.

Menurut Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman, tumpuan perlu dialihkan kepada pengurusan bekalan, khususnya dalam keadaan kekangan bekalan tenaga dan barangan asas yang berterusan.

Beliau membangkitkan persoalan sampai bila subsidi boleh bertahan?

“RM4 bilion sebulan, bajet tahunan berisiko ‘kehabisan minyak’ lebih awal Susulan peningkatan harga minyak mentah global, kerajaan dilaporkan menanggung subsidi petrol dan diesel mencecah RM4 bilion sebulan di bawah program BUDI Madani.

“Konflik di Asia Barat mendedahkan kerapuhan Malaysia dalam menyerap kejutan bekalan yang mendadak, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kelebihan sebenar Malaysia sebagai negara pengeluar minyak berbanding negara bukan pengeluar.

“Penerangan berulang kali oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan PETRONAS berhubung bebanan subsidi, kekangan fiskal, dan keuntungan hasil petroleum negara telah membuka mata rakyat, sekali gus menafikan ‘janji’ dan naratif lama yang sering diulang selama ini.

“Ternyata, dengan kedudukan fiskal yang terhad, adalah tidak tertanggung untuk negara terus menyuntik berbilion ringgit bagi mengekalkan mekanisme subsidi sedia ada.

“Sekiranya berlarutan, bajet tahunan negara berisiko ‘kehabisan minyak’ lebih awal, seterusnya meningkatkan hutang dan defisit kerajaan,” ujar Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu lagi.

Dalam masa terdekat Syahir berkata, kerajaan perlu menyemak semula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan dalam penetapan harga runcit petrol dan diesel sejak 1983, bagi memastikan sistem penetapan harga dan pemberian subsidi dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kerajaan juga perlu mengambil langkah untuk menyelaraskan penetapan harga petrol dan diesel di seluruh negara.

“Jurang harga antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu diselaraskan, meskipun wujud justifikasi tertentu berkaitan keperluan logistik dan pertimbangan ekonomi wilayah.

“Adapun sektor pertanian, perikanan, dan PMKS perlu sentiasa dilindungi, dan terjamin bekalan.

“Melangkah ke hadapan, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan subsidi menyeluruh dan mekanisme kawalan harga sedia ada.

“Tumpuan perlu dialihkan kepada pengurusan bekalan, khususnya dalam keadaan kekangan bekalan tenaga dan barangan asas yang berterusan.

“Selain itu, sistem pengurusan royalti petroleum perlu diperhalusi semula. Dalam konteks ini, saranan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar wajar diberi perhatian, supaya semua pihak kembali kepada tafsiran asal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dengan bayaran royalti dibuat secara terus oleh PETRONAS kepada kerajaan negeri,” katanya.

Pada masa sama ujar beliau, tafsiran berkaitan isu wilayah laut serta had 3 batu nautika perlu diperhalusi agar selaras dengan semangat Akta Wilayah Laut 2012 dan hak sempadan negeri yang dijamin, sekali gus memperkukuh asas pengagihan hasil negara yang lebih adil dan telus.

“Supaya ekonomi beroleh ketahanan, bekalan dipersiapkan. Supaya ekonomi beroleh kemakmuran, subsidi diagihkan. Supaya ekonomi beroleh keberkatan, hak royalti ditunaikan.

“Berdepan cabaran semasa, langkah segera yang boleh diambil oleh kerajaan ialah mengalihkan ‘pangkalan’ PADU; menyelaraskan harga Semenanjung, Sabah dan Sarawak; seterusnya memperbesarkan ‘pelabuhan’ BUDI bagi tujuan penyasaran subsidi yang lebih adil, telus, dan mampan.

“Jernihkan di huluan, maka jernihlah di hiliran,” kata Syahir.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat