Graduan kejuruteraan diseru mendaftar dengan LJM

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menyeru semua graduan kejuruteraan untuk mendaftar sebagai Jurutera Siswazah atau Graduate Engineer sebagai langkah penting ke arah kerjaya profesional yang diiktiraf.

LJM dalam kenyataan berkata pendaftaran di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 membolehkan graduan menggunakan gelaran ‘Grad.Eng.’ di belakang nama sebagai pengiktirafan rasmi terhadap kelayakan akademik, selain meningkatkan kredibiliti dalam industri.

“Sebagai negara penandatangan Washington Accord, Malaysia memastikan program kejuruteraan memenuhi piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan di peringkat global.

“Graduan dengan ijazah yang diiktiraf oleh Engineering Accreditation Council (EAC-BEM) atau badan profesional di bawah Washington Accord layak memohon, manakala laluan alternatif seperti program top-up dan BEM Graduate Assessment Program (BEM-GAP) disediakan bagi kelayakan yang tidak diiktiraf, ”kata kenyataan itu.

Katanya, permohonan pendaftaran dibuka kepada warganegara Malaysia dan bukan warganegara, dan boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian melalui sistem MyBEM.

“Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan lengkap termasuk sijil akademik, transkrip rasmi serta dokumen pengenalan diri yang telah disahkan oleh Jurutera Profesional yang diiktiraf oleh LJM.

Tegasnya, proses pendaftaran ini dilaksanakan secara telus, sistematik dan mesra pengguna bagi memastikan pengalaman permohonan yang lancar.

“Tempoh pemprosesan adalah sekitar enam minggu bagi kelayakan yang diiktiraf dan sehingga empat bulan bagi kes penilaian khas, tertakluk kepada kelengkapan dokumen yang dikemukakan,”ujarnya.

“LJM berharap semua graduan mengambil langkah proaktif untuk mendaftar sebagai Jurutera Siswazah (Graduate Engineer) sebagai laluan awal ke arah pendaftaran sebagai Jurutera Profesional, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, graduan kejuruteraan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi 03-2691 2090 (sambungan 162 / 165 / 166) atau rujuk infografik berkaitan pendaftaran Jurutera Siswazah (Graduate Engineer) di pautan http://www.facebook.com/share/p/1ELndGVUsS/?mibextid=wwXIfr
-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat