ARMADA Sertai Himpunan Tangkap Azam Baki, Hormati Titah Agong

KUALA LUMPUR,– Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyatakan pendirian untuk menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki yang dijadualkan berlangsung esok, 25 April 2026, sebagai tanda solidariti bersama rakyat dalam mempertahankan maruah negara.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim berhubung keperluan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu selepas tamat kontrak Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, keputusan untuk mengerahkan penyertaan ahli ARMADA di seluruh negara dalam himpunan tersebut dibuat selepas mengambil kira persepsi awam terhadap imej SPRM dan tahap kepercayaan terhadap institusi berkenaan yang didakwa semakin merosot kebelakangan ini.

ARMADA turut melahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan kerajaan yang dilihat tidak mengambil langkah menamatkan perkhidmatan Azam Baki, sebaliknya menyambung kontrak beliau beberapa kali sebelum ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat beberapa isu yang dibangkitkan, termasuk dakwaan berkaitan “mafia korporat”, pegangan saham, serta ketelusan siasatan melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini dan mendiang Teoh Beng Hock yang masih menimbulkan persoalan.

Dalam masa sama, ARMADA mendakwa parti itu juga berdepan tindakan pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disifatkan sebagai usaha untuk melemahkan Perikatan Nasional.

“Institusi kerajaan tidak boleh dijadikan alat politik oleh pihak pemerintah,” tegas kenyataan itu.

Mengulas lanjut, ARMADA menegaskan penyertaan mereka dalam himpunan berkenaan adalah berlandaskan hak demokrasi untuk berhimpun secara aman serta akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. -SuaraTV

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat