Pembukaan Semula Sempadan Turut Lonjak Ekonomi Johor – MB

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Pembukaan sempadan Johor-Singapura bermula 1 April ini menjadi lembaran baharu buat Malaysia dan Singapura selepas penutupan lebih 20 bulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia juga mampu menyumbang terhadap usaha pemulihan ekonomi Johor.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April ini.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Mewakili Kerajaan Johor, saya menyambut baik dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, yang mengumumkan berita baik ini.

“Terima kasih juga buat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad, yang banyak membantu dalam usaha pembukaan semula sempadan Johor-Singapura ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bermula 1 April ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan ketika ketibaan.

Dalam kenyataan bersama hari ini selepas berhubung menerusi panggilan telefon, Ismail Sabri dan Lee Hsien Loong dilaporkan berkata, pembukaan sempadan itu terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Kedua-dua Perdana Menteri mengakui Malaysia dan Singapura menunjukkan perkembangan memberangsangkan, khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Onn Hafiz berkata, beliau akan berusaha memastikan segala persiapan di sempadan Johor-Singapura berada pada tahap terbaik dan mengambil kira isu kesesakan lalu lintas.

“Semoga pembukaan sempadan ini menjadi lembaran baharu bukan sahaja buat Malaysia dan Singapura, malah buat Johor serta Singapura.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju pembangunan Johor dan Singapura untuk masa yang mendatang,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat