KUALA LUMPUR, 23 Feb – Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Nazri Aziz membidas Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, sebagai bersikap kebudak-budakan dan mempunyai mentaliti rendah.
Laporan MalaysiaKini menyebut bahawa kenyataan tersebut dibuat sebagai respons terhadap kritikan Akmal yang menggelarnya “penjilat” selepas Nazri menyatakan tiada individu lain yang layak menjadi Perdana Menteri jika Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada.
“Respons Akmal ini terhadap kenyataan saya menunjukkan tahap kebudak-budakan dan mentaliti yang rendah. Respons tersebut tidak menjawab kenyataan saya dengan baik.
“Saya telah diberitahu bahawa dia tidak mewakili orang Melayu atau Umno sendiri. Dia sepatutnya mempertikaikan apa yang saya katakan dengan fakta yang betul, dan bukan dengan mengatakan saya ‘menjilat’.
“Adakah itu reaksi yang patut datang dari Ketua Pemuda?”** kata bekas menteri dan bekas pemimpin kanan Umno itu.
Nazri turut menyindir bahawa jika benar dia seorang “penjilat”, Umno dan Akmal sendiri yang akan mendapat manfaat, termasuk dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
“Kalau saya ‘menjilat’, yang untung adalah dia, Umno, dan pakatan mereka. Ini kerana, saya sebagai penjilat akan memastikan peluang untuk dia menang di Melaka akan cerah, dan dia mungkin boleh menjadi exco.
“Jika saya ‘menjilat’, untung untuk dia, bukan untuk saya,” katanya.
Ketika ditanya mengapa beliau berpandangan Akmal tidak membawa suara majoriti orang Melayu, Nazri menegaskan bahawa parti yang lebih dominan dalam politik Melayu-Islam adalah PAS.
“Jika betul siapa yang mewakili suara Melayu-Islam sekarang, ia adalah PAS. PAS memerintah empat negeri (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) majoriti Islam.
“Di Parlimen, kerusi Melayu yang dipegang PAS jauh lebih banyak berbanding Umno. Itu yang saya katakan, Akmal bukan suara majoriti,” katanya.
Nazri turut membandingkan pendekatan PAS dan Akmal dalam menangani isu stoking kalimah Allah yang sebelum ini mencetuskan kontroversi.
“PAS mengendalikan isu stoking dengan baik tanpa sebarang ketegangan kaum berbanding Akmal dan Pemuda Umno,” katanya.