PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak mencampuri urusan badan penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka, termasuk tindakan terhadap mana-mana pihak.
Beliau menekankan bahawa setiap agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tugas tanpa sebarang campur tangan politik.
“Ada orang kata saya dendam, cari salah. Tak benar. Saya hanya beri kebebasan betul-betul. Saya beritahu Jemaah Menteri, kita tidak campur.
“Kita beri kebebasan kepada polis menjalankan kerja mereka, LHDN dengan tugasnya kutip cukai dan SPRM geledah supaya menghentikan amalan rasuah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baru di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.
Menurut Anwar, tindakan tegas oleh badan penguat kuasa adalah penting bagi menghentikan amalan tidak beretika, terutama rasuah yang boleh menjejaskan pembangunan negara.
“Negara boleh kaya tapi kalau pimpinannya itu sibuk cari kekayaan untuk diri, bila nak jaga rakyat?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa amalan salah guna kuasa untuk mengaut kekayaan sendiri perlu dihentikan bagi memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.
“Bila ada keterlanjuran, guna kuasa sampai kaya raya, ratus-ratus juta simpan,” tambahnya.