Sudah Beberapa Kali MUDA Sengaja Buat Onar Dalam Blok PH, Kata AMK PKR

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) kecewa dengan sikap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sanggup ‘menggadaikan’ muafakat bersama dalam Pakatan Harapan (PH) demi mencapai cita-cita ‘peribadi’ beliau.

Pengarah Pilihan Rayanya, Fahmi Zainol berkata, tindakan Ahli Parlimen Muar itu meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin jelas bertentangan dengan ikrarnya sebelum ini iaitu untuk tidak ‘melanggar’ mana-mana kerusi yang telah dipersetujui secara bersama oleh blok pembangkang.

Fahmi yang juga Ketua AMK Pulau Pinang berkata, pengumuman terbaharu Syed Saddiq itu jelas menimbulkan kemarahan akar umbi PKR dan ada dalam kalangan mereka yang menuntut parti tersebut meletakkan calon di kerusi DUN Puteri Wangsa dan kerusi lain yang ditandingi oleh Muda sebagai ‘balasan’.

“Sudah beberapa kali parti Muda sengaja membakar api dalam blok PH. Hari demi hari, tujuannya jelas iaitu sengaja membuat onar dalam blok pembangkang dan bukannya melawan musuh utama seperti yang dicanangkan beliau selama ini.

“Oleh itu, kami sudah menjangkakan dari awal dan bersedia dengan kemungkinan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Fahmi, beliau dan anggota AMK yang lain kini bersedia dengan jentera pilihan raya di tahap maksimum bagi menghadapi sesiapa sahaja walau dilanggar ‘kawan’ dan ‘lawan’.

“Kami di Keadilan (PKR) juga sentiasa berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan akan terus bersuara untuk rakyat demi kesejahteraan semua,” katanya.

Tambahnya, sebagai ahli parti beliau dan anggota AMK yang lain bagaimanapun akur dengan apa sahaja percaturan daripada pimpinan tertinggi parti.

Terdahulu, Ketua Penerangan Muda, Rasid Abu Bakar, 28, diumumkan sebagai calon kerusi DUN Larkin sekali gus menyaksikan kemungkinan berlakunya pertembungan empat penjuru di kerusi itu.

Selain Muda dan PKR, parti lain yang dijangka bertanding untuk kerusi DUN Larkin ialah Barisan Nasional (BN) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Datuk Mohd. Izhar Ahmad selaku penyandang kerusi tersebut. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat