DAP Bimbang Kerjasama PH Rosak, Gesa PKR dan MUDA Berbincang

- Advertisement -

KULAI – Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang turut ditandingi PKR boleh menjadi bibit awal kepada rosaknya kerjasama melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Memandang serius perkara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap satu tindakan perlu diambil bagi mengelakkan pertembungan itu benar-benar berlaku pada 12 Mac ini.

Memilih untuk tidak memenangkan mana-mana pihak, Guan Eng menjelaskan masih ada masa sebelum hari penamaan calon agar kedua-dua parti itu bermusyawarah bagi mencari titik persefahaman.

“Kita harap mereka (Muda dan PKR) dapat duduk berbincang supaya mengelakkan pertembungan di kerusi sama, ia hanya melibatkan satu kerusi sahaja.

“Saya optimis mereka mampu mencapai kata sepakat untuk elakkan sebarang pertembungan pada PRN Johor ini walaupun satu kerusi, kita tidak mahu menjadi seperti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon DAP, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor sebagai calon yang akan bertanding di kerusi DUN Larkin.

Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan dengan PKR, malah menghormati parti itu yang telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.

Ditanya sama ada beliau berharap salah satu parti menarik diri, Guan Eng bagaimanapun enggan campur tangan untuk memberi ‘formula’ terbaik menyelesaikan kemelut itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kekecewaan apabila calon Muda yang disenaraikan setakat ini tidak melibatkan presiden parti, Syed Saddiq yang lantang bersuara sebelum ini.

“Saya harap beliau bertanding tetapi itu terpulang kepada kepemimpinan parti Muda. Pemimpin seharusnya memimpin usaha bukan sahaja untuk menang PRN dan hati rakyat tetapi membawa agenda yang diperjuangkan.

“Pemimpin seperti ini harus memimpin dari depan dan bukannya duduk di belakang. Sebab itu, walaupun (Liew) Chin Tong enggan bertanding namun dia akur keputusan parti kerana pemimpin haruslah memimpin di hadapan,” ujarnya.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal turut bertanding dalam PRN Johor bulan depan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat