Terima Kasih Penghantar Makanan Berhati Mulia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mulianya hati seorang penghantar makanan lelaki apabila sanggup memberi makanan dan minuman sekalipun tidak mengenali individu yang dibantu.

Pengalaman dibantu penghantar makanan itu dikongsikan bapa kepada dua anak Mohd Zairam Neezar, 34, di Facebook (Fb) miliknya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd Zairam berkata, dia bertemu dengan penghantar makanan itu tanpa sengaja ketika keretanya tersadai di bahu jalan akibat tayar pancit.

Ketika itu, Mohd Zairam yang juga pengurus bahagian sumber manusia sebuah syarikat utiliti dalam perjalanan pulang ke rumah di Cyberjaya bersama anaknya, Dian Irdina, 6.

Katanya, insiden itu berlaku di Jalan Teknokrat, Cyberjaya sekitar 2.30 petang selepas dia mengambil anak kedua dari sebuah tadika di Bangsar, di sini.

“Ketika memandu, saya mendengar bunyi daripada bahagian belakang tetapi abaikan kerana menyangka tiada apa-apa yang berlaku.

“Tidak lama kemudian, bunyi itu semakin jelas dan bagi mendapatkan kepastian, saya memberhentikan kereta untuk memeriksa sebelum mendapati tayar belakang bahagian kiri sudah pancit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tanpa berlengah, Mohd Zairam segera menukar tayar yang pancit dengan simpanan, manakala anak dibawa keluar ke tempat lapang kerana enggan berada terlalu lama di laluan yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang dan berhampiran tapak pembinaan.

Mohd Zairam berkata, tidak lama kemudian, dia didatangi penghantar makanan yang membawa bersama minuman dan makanan.

“Dia (penghantar makanan) menghampiri saya dan bertanya masalah kerana memaklumkan sudah dua kali nampak saya ketika melalui jalan yang sama.

“Lelaki itu memberitahu dia tidak tahu bagaimana untuk membantu tetapi boleh memberi minuman dan biskut saja.

“Saya mahu memberi wang bagi membayar semula kepadanya tetapi dia menolak kerana ikhlas membantu.

“Katanya, dia kasihan dan memahami keadaan saya kerana turut mempunyai anak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Zairam, dia hanya sempat bertanya nama penghantar makanan dan mengambil gambarnya sebelum lelaki itu beredar.

“Jadi, saya kongsikan kisah itu di Fb dengan harapan dapat menjejakinya. Keesokannya, rakan sekerja saya memberitahu penghantar makanan itu adalah sepupunya.

“Apa pun, saya terharu dengan pertolongannya dan berharap perkongsian saya dapat memberi persepsi positif terhadap golongan penghantar makanan yang bukan hanya menghantar pesanan tetapi turut membantu masyarakat dalam kesusahan,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat