KUALA LUMPUR, – Tindakan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memanggil satu mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi gabungan itu tanpa menjemput Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini mencetuskan polemik baharu dalam kalangan parti-parti komponen.
Sumber dalaman Gerakan memaklumkan kepada SuaraTV bahawa jemputan rasmi kepada Ahli Majlis Tertinggi PN telah dikeluarkan semalam bagi memanggil satu mesyuarat tergempar pada 29 Januari ini, jam 8.30 malam di Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Cheras, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sumber itu mendakwa beliau terkejut apabila nama Muhyiddin tidak disenaraikan dalam edaran jemputan tersebut.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan agenda utama termasuk mengesahkan peletakan jawatan pengerusi serta melantik pengerusi baharu bagi menggantikan jawatan tertinggi gabungan itu.
Sumber sama turut mendakwa selain Muhyiddin, sebuah lagi parti komponen PN, Malaysian Indian People’s Party (MIPP), juga tidak berada dalam senarai jemputan.
Sementara itu, sumber dalaman Bersatu menyifatkan pemanggilan mesyuarat tanpa menjemput Muhyiddin sebagai bertentangan dengan Perlembagaan PN.
“Walaupun Muhyiddin telah menghantar surat peletakan jawatan, beliau secara teknikal masih kekal sebagai Pengerusi PN sehingga peletakan jawatannya diterima secara rasmi oleh Majlis Tertinggi,” kata sumber itu.
“Selagi Majlis Tertinggi belum meluluskan peletakan jawatan tersebut, Muhyiddin masih pengerusi. Maka beliau sepatutnya dipanggil hadir dalam mesyuarat yang membincangkan perkara itu,” tambahnya.
Beliau merujuk kepada Fasal 8.3(b) Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa peletakan jawatan pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi, yang kemudiannya wajib memilih pengerusi baharu dengan segera.
Sumber sama turut membangkitkan tafsiran terhadap Fasal 8.3(II)(a) yang menyatakan setiap parti anggota mestilah melantik Ketua Parti masing-masing sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi, kecuali jika Ketua Parti tersebut dipilih sebagai Pengerusi PN.
“Dalam konteks ini, sekiranya ada pihak berpendapat Muhyiddin bukan lagi Pengerusi PN, maka kedudukan Timbalan Pengerusi seharusnya kembali diisi oleh Presiden Bersatu sendiri, bukannya terus dipegang Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” tegas sumber berkenaan.
Dalam masa sama, sumber itu mengingatkan bahawa semua Presiden parti komponen adalah ahli Majlis Tertinggi PN secara automatik, justeru sebarang mesyuarat kritikal tanpa penyertaan menyeluruh hanya akan mengundang pertikaian legitimasi dan dakwaan wujudnya percaturan dalaman.
Beliau juga menyifatkan pemanggilan mesyuarat luar biasa untuk mengesahkan peletakan jawatan pengerusi tanpa menjemput pengerusi sedia ada sebagai langkah terdesak kumpulan tertentu yang didakwa mahu menggagalkan perkembangan perbincangan antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, minggu lalu.
Dalam perbincangan tersebut, terdapat laporan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju membawa cadangan penstrukturan semula PN dengan membentuk dua lapis kepimpinan tertinggi bagi memperkemas hala tuju gabungan.
Setakat ini, pihak sekretariat PN belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung dakwaan mesyuarat tersebut dipanggil tanpa melibatkan Muhyiddin serta beberapa parti komponen, termasuk MIPP.
Perkembangan ini dijangka menambah tekanan dalaman PN ketika gabungan itu memasuki fasa paling sensitif dalam perebutan struktur kepimpinan tertinggi menjelang tahun politik yang semakin mencabar.-SUARA.TV



