Jangkitan Covid-19 Kluster Pendidikan Meningkat 313 Peratus – KP Kesihatan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Peningkatan dalam beberapa kategori kluster jangkitan COVID-19, terutama kluster pendidikan sepanjang tempoh minggu lalu membimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus dalam kluster pusat pendidikan amat membimbangkan berikutan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama berisiko menyebabkan tercetusnya kluster yang tidak diingini.

Katanya, sepanjang tempoh minggu lalu KKM mengesan sebanyak 62 atau 70.5 peratus kluster pusat pendidikan disusuli 18 (20.5 peratus) kluster tempat kerja, empat (4.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu (1.1 peratus) kluster komuniti; kluster keagamaan; kluster import dan kluster pusat tahanan.

“Pada ME 3/2022, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 313.3 peratus.

“Selain itu, kluster tempat kerja dan kluster pusat tahanan juga menunjukkan peningkatan 80 peratus dan 100 peratus.

“Kluster komuniti, kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster import pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 88.9 peratus, 20.0 peratus dan 66.7 peratus pada ME 3/2022, berbanding ME 2/2022.

“Seperti semua sedia maklum, sesi persekolahan bermula 9 Januari lalu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja sudah menerima vaksin COVID-19.

Katanya, amat penting untuk semua pihak mengamalkan pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul serta memastikan kebersihan tangan dalam usaha mengawal penularan jangkitan virus itu.

“Selain itu, semua pihak diminta sentiasa menjalani saringan COVID-19 sekiranya bergejala sebelum hadir ke kawasan sekolah atau institusi pendidikan.

“Keselamatan dan kesihatan warga pendidikan perlu diberi perhatian supaya dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan.

“Oleh itu, KKM akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan

KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat