Formula Kerajaan Perpaduan dan Cabaran Menjelang PRN Tahun Depan

- Advertisement -

Oleh Nik Sukry Ramli

KUANTAN – Selepas kerajaan berjaya dibentuk pada 24 November lalu, formula ‘Kerajaan Perpaduan’ itu sudah diuji pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Padang Serai, Kedah dan Tioman, Pahang.

Hasilnya, trend pengundian rakyat di negara ini tidak banyak berubah dibandingkan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November.

Di Padang Serai, Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi dikuasai mereka sejak tiga penggal lalu.

Calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Azman Nasrudin dengan majoriti 16,620 undi.

Peratusan keluar mengundi di Padang Serai agak tinggi iaitu 68 peratus dan hampir menyamai sasaran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Manakala di Tioman pula, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain mempertahankan kerusi dimenangi sejak pilihan raya umum ke-12.

Namun, Mohd Johari tidak memperoleh kemenangan besar, hanya dengan majoriti 573 undi menewaskan calon PN, Idayu Hashim.

Peratusan keluar mengundi bagi PRK Tioman juga rendah, hanya 58.3 peratus.

Bagaimanapun, kemenangan Mohd Johari sangat penting kerana ia menyaksikan jumlah kerusi dewan undangan negeri (DUN) dimiliki BN Pahang sebanyak 17, menyamai jumlah kerusi DUN dimiliki PN Pahang.

Keputusan kedua PRK itu menunjukkan formula ‘Kerajaan Perpaduan’ belum dapat diterima baik oleh pengundi di negara ini.

Mohd Johari ketika ditemui selepas malam pengumuman keputusan PRK Tioman mengakui pembentukan kerajaan di peringkat Pusat dan negeri Pahang memerlukan masa untuk difahami rakyat.

“Kita (BN) hanya ada dua pilihan selepas PRU15, sama ada bersama dengan kumpulan yang membawa mudarat besar atau mudarat lebih kecil.

“Saya fikir pucuk pimpinan UMNO dan BN di peringkat Pusat dan negeri sudah membuat keputusan bijaksana dengan memilih untuk menyertai ‘Kerajaan Perpaduan’ seperti dititah oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berharap rakyat dapat menerima keputusan apabila BN menyertai kerjasama dengan PH, termasuk DAP.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah kita memandang ke hadapan dan bersama-sama menilai kerajaan hari ini dengan adil,” katanya.

Satu perundingan lain perlu dilakukan antara PH dan BN untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan tahun depan.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail pada 12 Disember lalu memaklumkan, gabungan parti itu akan melakukan siri jelajah di enam negeri yang akan mengadakan PRN pada suku pertama tahun depan.

Enam negeri yang belum membubarkan DUN masing-masing ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan pada 15 Disember lalu turut dilaporkan berkata, setakat ini belum ada perbincangan antara PH dan BN bagi menghadapi PRN dan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian.

Dalam pada itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menganggap kemenangan calon mereka di Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman adalah bukti rakyat tidak meyakini kerajaan campuran PH dan BN ketika ini.

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

“Kecewa dengan ‘penipuan’ pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini beralih arah menyokong PN,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada malam 7 Disember lalu.

Dan berdasarkan ‘mood’ pengundi di Tioman dan Padang Serai, sudah tentu ‘Kerajaan Perpaduan’ diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bakal berdepan tugas sukar dalam PRN tahun depan. 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat