KUALA LUMPUR – Pahang, Selangor dan Kelantan menjadi fokus utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandangkan negeri-negeri tersebut teruk terjejas akibat banjir.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ia berikutan jumlah mangsa banjir di tiga negeri itu kini melebihi 1,000 orang.

Menurut beliau buat masa ini Pahang merekodkan jumlah mangsa seramai 38,399 orang dengan sembilan kawasan yang membabitkan atur gerak ATM iaitu di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.

“Bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa ini menunjukkan keadaan yang masih terkawal.

“Bagaimanapun ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri bagi diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Affendi menegaskan dalam menangani krisis seumpama ini, ATM lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

“Kita tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian atau ‘silo’. Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah lebih berkesan sekiranya dilaksana dengan berkonsepkan ‘whole of government approach’ bagi memastikan setiap agensi terbabit dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

Memetik BH jelasnya, ketika ini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana itu.

“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa akan datang,” katanya.