KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport antarabangsa menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibatalkan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut beliau, tindakan pembatalan itu dibuat susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap ahli perniagaan yang menjadi buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
“Perkara pertama yang saya semak adalah apakah ada permohonan daripada SPRM meminta Jabatan Imigresen untuk membatalkan pasport individu tersebut. Jawapannya, ada. Maka, tindakan itu tidak bercanggah dengan apa-apa peraturan.
“Apakah notis pemakluman untuk memasukkan individu itu ke dalam senarai Interpol (Polis Antarabangsa) juga dibuat SPRM, seperti yang disahkan Tan Sri Razarudin Husain (bekas Ketua Polis Negara),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober dan Sambutan Hari Inovasi 2025 Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, isu yang dibangkitkan media berhubung kebebasan pergerakan individu tersebut di luar negara berkait rapat dengan dokumen perjalanan yang digunakan.
“Kalau seseorang rakyat Malaysia bergerak ke luar negara, dia mestilah menggunakan pasport yang sah. Dalam kes ini, pasportnya sudah dibatalkan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama rapat bagi memudahkan tindakan lanjut terhadap individu yang dikehendaki itu.
“Saya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua pihak autoriti di bawah KDN, termasuk Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
“Keutamaan kami kini ialah bagaimana kedua-dua agensi ini boleh memfasilitasi proses membawa pulang individu berkenaan bagi tujuan siasatan SPRM,” jelasnya menurut laporan Astro Awani.
Sebelum ini media melaporkan Muhammad Adlan yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Dua tahun lalu, Razarudin Husain mengesahkan permohonan notis merah ke atas menantu bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya diserahkan kepada Interpol.
Beliau memberitahu, tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu.
Kedua-dua individu ini dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Namun semakan di portal Interpol mendapati, setakat Khamis, kedua-dua individu masih tidak disenaraikan dalam senarai dikehendaki polis antarabangsa itu.



