Lubang benam Jalan Masjid India akibat paip pembentungan reput bukan batu kapur seperti dibimbangi – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR – Punca utama kejadian lubang benam di Jalan Masjid India di sini pada Ogos tahun lalu disebabkan oleh kegagalan struktur paip pembetungan yang reput akibat tindak balas kimia, bukan berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur seperti dibimbangi orang awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kawasan itu terletak di atas Formasi Kenny Hills yang didasari batuan syis (schist) manakala lapisan batu kapur hanya ditemui pada kedalaman sekitar 60 hingga 70 meter.

“Ini bermakna insiden lubang benam berkenaan tidak mempunyai kaitan langsung dengan batu kapur, sebaliknya berpunca daripada struktur paip lama yang rosak dan tanah tidak stabil,” katanya ketika menjawab soalan Yusuf Abd. Wahab (PN–Tanjong Manis) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dr Zaliha berkata, penyiasatan dijalankan pasukan khas diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengenal pasti punca dan mencadangkan langkah mitigasi jangka pendek serta panjang.

Katanya, laporan penuh mengenai insiden telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos lalu manakala edisi khas laporan bagi bacaan umum akan diterbitkan oleh DBKL hujung tahun ini bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kejadian tersebut.

“Selepas setahun, kawasan Jalan Masjid India kini pulih dan kembali menjadi tumpuan orang ramai. Pelbagai aktiviti seperti sambutan Deepavali serta program ‘Car Free Morning DBKL’ berlangsung meriah,” katanya lapor Utusan.

Beliau berkata, laporan itu akan turut dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bagi membolehkan penilaian bersama laporan insiden lubang benam di Sepang, Selangor dan George Town, Pulau Pinang.

Katanya, usaha itu penting bagi merangka strategi mitigasi nasional yang lebih komprehensif bagi mengelak kejadian sama berulang di kawasan bandar utama negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat