KUALA LUMPUR – Polis menggesa supaya penganjuran perhimpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tidak diadakan, bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bukan masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana semua keutamaan ditumpukan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
“Polis menasihati supaya perhimpunan itu tidak diteruskan kerana kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama delegasi luar negara.
“Penganjuran seperti itu tidak sesuai ketika Malaysia menjadi tuan rumah kerana boleh menjejaskan imej negara serta mengganggu kelancaran sidang,” katanya selepas meninjau raptai delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di KLCC, lapor BH pada Khamis.
Menurutnya, pihak polis sudah menjalankan sesi libat urus dengan kumpulan yang menyatakan hasrat untuk berhimpun bagi menyampaikan bantahan.
“PDRM menasihatkan supaya ia tidak diadakan di kawasan KLCC. Sekiranya mereka masih berhasrat untuk berhimpun, kita mencadangkan supaya lokasi dialihkan ke kawasan lebih sesuai seperti Padang Merbok,” katanya.
Beliau berkata, perhimpunan besar di sekitar KLCC boleh menjejaskan kawalan keselamatan serta mengganggu pergerakan konvoi dan urusan protokol delegasi antarabangsa yang menghadiri sidang berkenaan.
“Kita bukan menghalang hak berhimpun, tetapi meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan sepanjang minggu Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” katanya.
Beliau menegaskan, polis menghormati hak berhimpun seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, namun ia perlu dilaksanakan secara tertib tanpa menjejaskan keselamatan awam.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan di kawasan larangan.
“PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya tidak termakan provokasi atau ajakan untuk menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pihak termasuk parti PAS mengumumkan rancangan untuk menganjurkan satu himpunan bagi membantah kehadiran Trump dalam masa terdekat.
Untuk rekod,Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin utama dunia termasuk Trump dan juga pemimpin dari China, Jepun serta negara anggota ASEAN.



